Darurat: Guan Eng dan Aziz Bari disiasat polis


PIHAK polis memanggil Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berhubung satu kenyataan Pakatan Harapan (HARAPAN) mengenai perisytiharan darurat pada bulan lalu.

Perkara itu disahkan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Menurutnya siasatan tertumpu kepada kenyataan yang dibuat Lim bersama Presiden KEADILAN,Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.
 
Rayer berkata, beliau telah dihubungi pegawai penyiasat dari Unit Siasatan Jenayah, Bahagian Pendakwaan/Undang-undang D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman pada Isnin.

"Guan Eng akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis untuk membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan mempersoalkan perkara itu menerusi Twitter beliau dengan memuat naik kenyataan Rayer tersebut.

"Satu lagi tindakan untuk melenyapkan suara pembangkang selepas Parlimen digantung demi mengekalkan kuasa kerajaan PN (Perikatan Nasional) yang sudah kehilangan sokongan majoriti ahli Parlimen?" tulisnya.

Untuk rekod,  Kenyataan Majlis Presiden HARAPAN pada 21 Jan lalu menyentuh perisytiharan darurat oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin pada 12 Jan lalu.

Kenyataan itu menyenarikan sebab darurat tidak diperlukan ketika undang-undang kesihatan awam sedia ada sudah mencukupi untuk mengekang penularan Covid-19 dan Parlimen perlu bersidang.

“Kami berpendapat tindakan Muhyiddin mengusulkan darurat pada ketika beliau sudah kehilangan sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen, termasuk Machang dan Padang Rengas, bermaksud langkah ini tidak boleh diterima sama sekali.

“Jangan berselindung di sebalik Covid-19 dan membebankan rakyat dengan perisytiharan darurat demi menyelamatkan diri sendiri,” demikian menurut sebahagian petikan kenyataan itu.

Terdahulu, Ahli Parlimen Machang, Ahmad Jazlan Yaakob dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Abdul Aziz mengumumkan mereka menarik balik sokongan untuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).
 
Selain Guan Eng, Timbalan Pengerusi DAP Perak Aziz Bari turut dipanggil polis untuk disiasat berhubung kenyataannya dalam isu darurat.

Pakar perlembagaan itu berkata, beliau mungkin disoal siasat berhubung responsnya terhadap pertanyaan dalam siaran langsung Facebook bulan lalu.

 Kedua mereka dilapor beri kerjasama baik
“Pusat khidmat saya menerima panggilan daripada Bukit Aman pagi ini berhubung komen saya mengenai Agong. Mereka tidak menyatakan saya disiasat bawah undang-undang apa.

“Apa yang saya katakan (ketika siaran langsung di Facebook) termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Jelas sekali, saya rasa orang ramai tidak tahu (apa) yang diperuntukkan dalam Perlembagaan," katanya dipetik.

Post a Comment

0 Comments