Setahun jadi k'jaan, apa agenda yang PN boleh banggakan?

 

HAMPIR setahun menjadi kerajaan, Perikatan Nasional yang dikepalai Muhyiddin Yassin disifatkan masih gagal melaksana apa-apa agenda, misi atau pencapaian yang boleh dibanggakan.

Demikian menurut Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu kenyataan bersama.

Dalam kenyataan sempena memperingati setahun peristiwa 'Langkah Sheraton" yang menyaksikan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) tahun lalu, kedua-dua mereka mengulas beberapa kelemahan kerajaan yang  dicanang-canang sebagai kerajaan 'Melayu-Islam' itu.

"Pemerintahan kerajaan 'Melayu-Islam' ini menyaksikan jumlah pengangguran rakyat terus meningkat selain turut mengabaikan janji pemberian komputer riba kepada 150,000 murid berjumlah RM150 juta seperti yang dihebahkan semasa pembentangan Belanjawan 2021 sehingga hari ini.

"Tiada rancangan pemulihan ekonomi yang berjaya dibuat sehingga hari ini. Kegagalan menunaikan janji memaksa ibu bapa daripada golongan B40 mencari alternatif lain untuk mendapatkan peranti bagi keperluan pembelajaran anak-anak mereka termasuk mendapatkannya daripada ahli-ahli Parlimen pembangkang," kata mereka.

Mereka turut membangkitkan kegagalan kerajaan PN menarik pelabur baharu dari luar.

Namun dakwa mereka, parti politik dalam kerajaan PN sentiasa menyuarakan rasa sangsi dan tidak lagi mempercayai antara satu sama lain.

"Selepas beberapa siri pertukaran kepimpinan kerajaan negeri melalui undi di dalam Dewan Negeri, lompat parti dan pilihan raya negeri dalam tempoh PKP, ikatan ketiga-tiga parti tersebut menunggu masa sahaja untuk terlerai. Kerajaan yang dibina atas nama pengkhianatan akan runtuh melalui pengkhianatan juga.

"Penutupan beberapa kilang industri yang berpindah ke negara jiran hanya mengesahkan bahawa kerjasama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO dan Pas dalam kerajaan PN tidak lebih dari sekadar kosmetik dan jenama sahaja yang akhirnya tidak memberi apa-apa makna kepada rakyat," katanya mereka lagi.

Tambah mereka, ketika kerajaan pimpinan Ahli Parlimen Pagoh itu memberitahu rakyat bahawa mereka serius dalam melawan pendemik Covid-19, ia tidak diterjemahkan dengan baik.

 Rakyat berdepan masalah ekonomi
Peruntukan yang sepatutnya disalurkan ke kawasan Parlimen pembangkang dipotong seolah-olah mahu menyukarkan misi setiap Parlimen pembangkang untuk membantu rakyat yang susah, lapar dan sakit.

"Akhirnya, rakyat pula yang menjadi mangsa hukuman politik kerajaan ‘Melayu-Islam’ PN.

"Utama bukan jenama agama dan bangsa tetapi komitmen melindungi negara," tambah mereka dalam kenyataan itu. 

Post a Comment

0 Comments