Ahli Parlimen bimbang pembinaan PDF ancam sumber air


AHLI PARLIMEN Kuantan, Fuziah Salleh menggesa agar konsultasi awam mengenai kemudahan pelupusan sisa radioaktif Lynas (PDF) dihentikan.

Menurut Ketua Wanita KEADILAN itu, PDF yang akan dibina itu merupakan sebahagian daripada tapak pelupusan sisa berjadual industri pelbagai kategori (MCISWDS) yang dirancang di kawasan yang masih dikategorikan kawasan sensitif alam sekitar (ESA) Peringkat 1.

Tegasnya, dibawah garis panduan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, kawasan ESA tidak boleh dibangunkan.

"Proses Konsultasi Awam berkaitan Kajian Impak Alam Sekitar keatas Tapak Pelupusan Kekal Sisa Buangan Radioaktif (PDF) Lynas tidak boleh diteruskan dan harus di hentikan segera, selagi kawasan tersebut masih belum bertukar status," katanya dalam kenyataan.

Difahamkan, MCISWDS dirancang dibina di kawasan tadahan air Sungai Riau di hutan simpan kekal Bukit Kuantan.
 
Sebelum ini syarikat nadir bumi dan kerajaan negeri Pahang menafikan PDF akan berada di kawasan tadahan air. Bagaimanapun laporan kajian kesan alam sekitar (EIA) mendapati ia sebaliknya.

Sementara itu tegas Fuziah, mengubah status ESA itu sendiri memerlukan proses perundingan dan pendengaran awam sendiri, dan barulah kajian impak alam sekitar (EIA) dapat dijalankan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack menggesa individu, NGO dan semua pihak tanpa mengira fahaman politik membantah pembinaan MCISWDS dan PDF di tapak berkenaan.

Dilapor akan dibina di kawasan tadahan air
Pembinaan kedua-dua tapak itu dibimbangi akan mencemarkan sumber air penduduk sekitar.
 
“Ia tidak boleh diterima apabila sebahagian daripada Hutan Simpan Bukit Kuantan akan dijadikan tapak pelupusan itu. Ia terletak di kawasan tadahan air, dan berisiko mencemarkan sumber air untuk penduduk Kuantan.

“Sangat penting untuk kita bersuara sekarang. Bersikap tidak endah adalah tindakan tidak bertanggungjawab,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.

Wong memberi amaran bahawa negara tidak mahu menyaksikan satu lagi kes seperti insiden pencemaran radioaktif sama yang berlaku di Bukit Merah pada tahun 80-an.

PDF Lynas meliputi 58.25 hektar atau 29 peratus daripada luas keseluruhan MCISWDS.

Antara itu yang dibangkitkan ialah kebimbangan berhubung reka bentuk PDF Lynas seperti yang terdapat di dalam laporan EIA.

Berdasarkan laporan, sel PDF merupakan lubang besar bersaiz 540 kolam renang yang digali di dalam tanah dan dikukuhkan dengan bahan pembendung dan dilapor akan dibina di kawasan bukit yang curam.

Ia akan ditutup dengan dua lapisan pelapik tanah liat, dan tanah liat sintetik akan dipasang untuk menahan torium dan uranium, namun Pengerusi Selamatkan Malaysia Hentikan Lynas (SMSL) Tan Boon Teet mempersoalkan apakan ia mampu berfungsi dengan baik ketika musim tengkujuh.


Post a Comment

0 Comments