KERJASAMA politik yang dibentuk secara penipuan dan pengkhianatan tidak akan mampu bertahan lama, kata Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor.
Ketuanya, Najwan Halimi berkata begitu sebagai merujuk kemelut dihadapi Perikatan Nasional (PN) dikepalai Muhyiddin Yassin yang kini berdepan isu kerjasama serius dengan Umno.
ADUN Kota Anggerik itu melalui satu kenyataan berkata, apa yang berlaku di dalam PN wajar dijadikan iktibar oleh Pakatan Harapan (HARAPAN).
"Perkembangan politik mutakhir kini menyaksikan bibit-bibit perpecahan yang ketara di antara Umno dan Bersatu.
"Ini jelas menunjukkan bahawa ikatan politik parti-parti yang mendukung kerajaan PN kini dalam keadaan retak menanti belah.
"Hal ini sewajarnya direnung serta diinsafi oleh pimpinan dan pendukung HARAPAN bahawa mana-mana kerjasama politik yang dibentuk menerusi muslihat, penipuan dan pengkhianatan tidak akan mampu bertahan lama dan bakal menemui pengakhiran yang memalukan," katanya.
Masa depan gabungan politik PN yang dibentuk sejurus 'Langkah Sheraton' kini semakin menjadi tanda tanya.
Utusan Malaysia dalam laporan sebelum ini menyatakan pendirian 189 daripada 191 bahagian Umno yang tegas menolak kerjasama dengan Bersatu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Keretakan hubungan antara Umno dan Bersatu mula jelas susulan perebutan kerusi bagi Ketua Menteri Sabah, yang akhirnya menyaksikan Umno terpaksa mengalah kepada Bersatu.
Kemudian, Umno membawa pula usul percaya di DUN Perak yang menyaksikan Menteri Besar dari Bersatu, Ahmad Faizal Azumu tersingkir dan diganti dengan Menteri Besar dari Umno.
Dalam perkembangan terbaharu, tindakan Ketua Umno Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakub meletak jawatan sebagai pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) disifatkan satu lagi tamparan kepada kepimpinan Muhyiddin Yassin.
Ia ibarat beliau menarik diri daripada menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Pentadbiran Ahli Parlimen Pagoh itu yang sebelum ini melepasi undian bagi Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat dengan kelebihan 3 undi diibaratkan telah kehilangan satu sokongan dari Parlimen Machang.
![]() |
Najwan gesa ambil iktibar dari kegagalan PN |
"HARAPAN perlu bergerak secara lebih agresif dengan merangka semula kebijakan ekonomi dan sosial yang lebih berkesan demi memenangi semula kepercayaan dan keyakinan rakyat Malaysia, seterusnya mengambil alih kembali Putrajaya di dalam PRU-15," katanya dalam kenyataan itu.