Pecat Annuar Musa, isyarat Umno nak cerai dengan PN?

 


UMNO memberi gambaran tidak lagi mahu berkompromi dengan Ahli Parlimennya yang cenderung kepada Perikatan Nasional (PN).

Presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi hari ini memutuskan memecat Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN).

Difahamkan, keputusan itu dibuat Ahmad Zahid  dalam mesyuarat dan pertemuan bersama ketua-ketua Umno bahagian berhubung usul menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15.

Zahid yang merupakan Pengerusi BN turut melantik Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maszlan sebagai Setiausaha Agung yang baru serta merta.

Annuar sebelum ini mencabar supaya dipecat daripada parti itu sekiranya pendiriannya tidak disenangi pucuk pimpinan parti itu.  Beliau turut dikritik kerana dilihat lebih bertindak sebagai jurucakap untuk PN berbanding BN.

Beliau yang merupakan Menteri Wilayah Persekutuan dilihat cenderung menyokong keputusan kerajaan Perikatan Nasional dan mempertahan pendirian supaya Umno tidak menjalin kerjasama dengan DAP serta Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, beberapa pemimpin Umno memberi gambaran bahawa tidak mustahil jajaran baharu politik antara Umno dan HARAPAN bakal terjalin.

Ada juga desas-desus menyatakan Umno akan mengumumkan penarikan sokongan kepada kerajaan sebelum 1 Februari ini.

189 daripada 191 bahagian Umno sebelum ini dilapor telah setuju menolak kerjasama dengan Bersatu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

  Umno mahu putus hubungan dengan Bersatu
Sementara itu, Annuar dalam kenyataan ringkas di laman  Twitternya susulan laporan media mengenai perkara itu berkata tiada komen diberikan ketika ini.

"Ramai yang minta komen. Saya tiada apa komen buat masa ini. Tempoh bertenang," tulisnya
.

Post a Comment

0 Comments