Mutasi B.1.1.7 lebih cepat berkembang


MUTASI virus Covid-19 dikenali sebagai varian B.1.1.7 lebih cepat berkembang biak di dalam badan individu yang dijangkiti.

Pakar virologi, Profesor Dr Sazaly Abu Bakar yang dipetik laporan Sinar berkata, varian B.1.1.7 yang asalnya dikesan di United Kingdom (UK) lebih cepat merebak berikutan perubahan genetik pada virus penyebab Covid-19.

“Perubahan genetik menyebabkan pertukaran asid amino kepada protein yang akan bergabung dengan tapak pada sel hos (orang yang dijangkiti).

“Ini membolehkan virus dengan lebih mudah memasuki sel dan membiak dengan banyak.

“Jutaan virus ini kemudiannya diluahkan ke dalam cecair rembesan pesakit yang menularkan virus seterusnya melalui batuk atau percakapan,” kata Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) Universiti Malaya (UM) dipetik.

Terdahulu, pada Isnin, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan pihaknya telah mengesan satu kes Covid-19 varian B.1.1.7

Kes itu membabitkan seorang pengembara yang mempunyai sejarah perjalanan ke United Kingdom pada Disember lalu.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai varian itu Dr Sazaly berkata, ketika ini tiada bukti yang menunjukkan varian B.1.1.7 lebih berbahaya daripada virus yang asal.

Dalam perkembangan sama, mantan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) KKM, Datuk Dr Rohaizat Yon pula menegaskan, pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) kesihatan adalah kunci utama mengawal penularan Covid-19 tanpa mengira jenis varian.

“Berhubung varian B.1.1.7 yang mempunyai kadar jangkitan yang cepat, apa yang perlu dan penting untuk dilakukan oleh rakyat adalah mematuhi SOP.

Pematuhan SOP penting elak Covid-19


“Selagi tidak menerima vaksin seperti dijanjikan, kita hanya ada tiga ‘vaksin’ iaitu penjarakkan fizikal satu meter, pemakaian pelitup muka dan kerap mencuci tangan,” kata Dr Rohaizat.


Post a Comment

0 Comments