Darurat 'talian hayat' untuk Muhyiddin, kata Penganalisis



LANGKAH Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletakkan negara di bawah perintah darurat memberi kelebihan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk kekal berkuasa lebih lama.

Demikian pandangan Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM).

Memetik laporan FMT, Dr Azman berkata,  Muhiyiddin terselamat daripada tumbang setelah Kabinetnya dilihat gagal mengawal penularan wabak Covid-19 sehingga menyebabkan negara terpaksa melaksanakan kembali perintah kawalan pergerakan (PKP) dan darurat.

“Mereka perlu fokus kepada aktiviti menangani wabak Covid-19 merebak. Parlimen digantung dan pilihan raya tidak akan diadakan.

“Ini juga menyelamatkan PN daripada kemungkinan kalah dalam pilihan raya,” katanya.

Perisytiharan darurat juga pada pandangannya memberi bayangan bahawa Umno yang dipimpin oleh Ahmad Zahid Hamidi “mati langkah”.

Sepanjang tempoh darurat dikuatkuasakan, Umno jelasnya tidak akan mampu melakukan apa-apa keputusan besar.

Untuk rekod, Umno dijadualkan akan membawa usul memutuskan hubungan dengan parti Bersatu Pimpinan Muhyiddin dalam perhimpunan agung parti berkenaan akhir bulan ini.

Menyentuh lanjut pengumuman Muhyiddin bahawa badan kehakiman akan terus berfungsi, beliau melihat ia sebagai gambaran bahawa kes membabitkan pemimpin Umno akan terus berjalan.

Ia memberi sedikit ruang untuk Muhyiddin dari 'diganggu' pemimpin Umno yang terbabit dengan kes di mahkamah, khususnya bekas perdana menteri, Najib Razak dan beberapa pemimpin Umno lain, termasuk Zahid.

“Ini menunjukkan perdana menteri mahukan kes mahkamah melibatkan pemimpin Umno diselesaikan dalam masa darurat ini.

“Sudah pasti ramai yang dijangka disabitkan dalam tempoh tersebut,” katanya.

 Darurat 'matikan' langkah Umno
Sebelum ini, Majlis Pakatan Harapan ( HARAPAN) menolak alasan diberikan Muhyiddin bagi mewajarkan pelaksanaan darurat.

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Muhyiddin sewajarnya meletakkan jawatannya dan bukan mengusulkan darurat kepada Yang di-Pertuan Agong.

Post a Comment

0 Comments