SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia (SKMM) digesa memberikan penjelasan berkenaan dakwaan bahawa akaun Twitter rasmi suruhanjaya itu diambil alih daripada akaun peribadi.
Gesaan itu dibuat Setiausaha politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Syahredzan Johan selepas warga maya semalam mendedahkan beberapa ciapan daripada akaun Twitter rasmi suruhanjaya berkenaan yang bersifat lucah dan jelik.
"Adakah benar akaun @SKMM_MCMC itu diambil alih daripada akaun peribadi seperti yang didakwa?
"Sekiranya benar diambil alih, apa keperluan @SKMM_MCMC mengambil alih suatu akaun peribadi?"soal Syahredzan dalam satu kenyataan.
Syahredzan turut membangkitkan dakwaan seorang pengguna media sosial menggunakan nama @NazruiHakim yang mendakwa akaun Twitter SKMM itu pada asalnya merupakan akaun peribadi miliknya.
Remaja berkenaan mendakwa akaun itu dijual beberapa tahun lepas ketika dia mempunyai 50,000 pengikut.
"Adakah bayaran yang dikatakan oleh @NazruiHakim dibuat oleh SKMM dan berapa jumlah yang dibayar?
"Jika SKMM ada membuat bayaran, adakah ia melalui proses perolehan kerajaan yang betul dan telus?" soalnya
SKMM menggantung akaun @SKMM_MCMC buat sementara waktu selepas ciapan lama akaun itu yang bersifat lucah dan jelik dikongsi semula netizen.
Suruhanjaya itu bagaimanapun kemudian tampil mendakwa akaun Twitternya ‘diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab’.
![]() |
Syahredzan mahu jawapan jelas |
"Sekiranya akaun tersebut diceroboh sekalipun, adalah mustahil untuk ‘back-date’ mana-mana ciapan," kata Syahredzan yang juga merupakan seorang peguam.
0 Comments