Masjid dan surau di daerah Sepang boleh solat jemaah


SEMUA masjid dan surau di daerah Sepang dibenarkan untuk menunaikan solat lima waktu secara berjemaah mulai hari ini.

Pegawai Tadbir Agama Pejabat Agama Islam Daerah Sepang, Zamzuri Roslan berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pemantauan Penilaian Pematuhan Prosedur Operasi Standard Masjid dan Surau Negeri Selangor (JPPPMS) semalam.

Walau bagaimanapun jelasnya, semua aktiviti pengimarahan masjid seperti kuliah, ceramah dan tazkirah masih ditangguhkan.

“Hanya 40 jemaah termasuk pentadbir masjid dan surau tersebut yang dibenarkan ketika menunaikan solat lima waktu secara berjemaah.

“Namun, ketetapan bilangan jemaah tersebut boleh dihadkan sekiranya penularan Covid-19 di kawasan berhampiran atau masjid dan surau tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP)  yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu tambah Zamzuri, bagi solat Jumaat,  hanya masjid dan surau yang mendapat kebenaran sahaja boleh menunaikannya.

Seramai 40 jemaah tidak termasuk pentadbir masjid dan surau yang dibenarkan untuk menyertai solat Jumaat.

“Bagaimanapun, warga asing masih lagi tidak dibenarkan untuk menunaikan solat lima waktu dan solat Jumaat kecuali mereka yang dikenali oleh pihak masjid dan surau.

Aktiviti  kuliah dan ceramah ditangguhkan
“Bagi solat Jumaat, masjid dan surau diminta untuk menggunakan aplikasi bersesuaian untuk merekodkan kehadiran jemaah yang hadir,” ujarnya.

Tambahnya, pihaknya meminta masjid dan surau untuk menyediakan ruangan khas kepada musafir serta penghantar makanan supaya mereka boleh menunaikan solat. 

Post a Comment

0 Comments