K'jaan jangan sekadar beretorik isu transgender -AMK


KEWUJUDAN
golongan transgender yang didakwa aktif menjalankan aktiviti songsang di negeri Kelantan wajar diambil perhatian.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan melahirkan rasa bimbang dengan perkembangan itu terutama negeri itu kenal dengan jolokan negeri serambi Mekah.

Ketuanya Muhd Hafiz Muhd Kasasi berkata, pihaknya rasa terpanggil untuk mengulas isu tersebut selepas membaca kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berhubung isu yang sama, baru-baru ini.
 
"Kita menerima aduan mengenai penawaran aktiviti berbentuk maksiat oleh golongan itu yang dilihat semakin rancak dengan modus operandi mencari pelanggan menerusi aplikasi Wechat dan seumpamanya.

"Adalah wajar tindakan terhadap aktiviti tidak bermoral ini didahulukan lebih awal di negeri Kelantan yang terkenal dengan jolokan Serambi Mekah dan slogan kerajaan 'Membangun Bersama Islam'.

"Aktiviti tidak bermoral ini seperti tidak diambil serius oleh pihak kerajaan negeri dengan apa yang kita dapat lihat sekarang makin bertambah serius khususnya melibatkan golongan ini, malah semakin menonjol susulan tiada tindakan diambil oleh pihak berwajib," katanya dipetik laporan Malaysiakini.

Justeru tegas Muhd Hafiz, kerajaan negeri yang kini sehaluan dengan kerajaan persekutuan seharusnya mengambil pendekatan tuntas dan berkesan dalam menangani gejala tidak bermoral itu.

Kerajaan negeri tegasnya bukan  bukan sekadar beretorik bagi meraih kepentingan politik.

"Pelbagai inisiatif perlu dilakukan dengan segera oleh pihak berwajib bagi memastikan aktiviti transgender ini dapat dibendung dengan sebaik mungkin.

"Kami menyarankan agar perkara ini tidak dipandang remeh oleh pihak kerajaan demi menjamin nama baik negeri Kelantan yang kita sayangi.

"Sebagai sebuah negeri yang sering dilaungkan memerintah secara Islam, dalam tempoh 30 tahun menjadi kerajaan isu seperti ini sepatutnya menjadi contoh kepada kerajaan negeri lain dalam soal pembanterasan dan tindakan tegas. Jangan hanya berteori sahaja tanpa usaha dan praktikal kita terjemahkan.

"Jangan hanya setakat menyampaikan ceramah sahaja tanpa tindakan diambil bagi mencegah perkara ini berlarutan sehingga tidak dapat dibendung lagi. Ia amat bahaya khususnya berlaku pada golongan muda di negeri ini," tambahnya dipetik laporan itu.

 Mahu tindakan bukan sekadar retorik
Terdahulu, Ahmad Marzuk yang merupakan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa dilapor media mengingatkan bahawa tiada ruang untuk golongan transgender melakukan maksiat di negara ini.

Katanya, golongan tersebut didapati tidak lagi takut-takut untuk menyorok identiti lelaki yang sudah ditukar kepada perwatakan wanita.

Post a Comment

0 Comments