JHEAINS jawab fitnah jemaah masjid langgar SOP


KERAJAAN
Negeri Sembilan sememangnya membenarkan pelaksanaan solat Jumaat dan fardu di negeri itu sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0.

Walau bagaimanapun pelaksanaannya hanya dibenarkan dengan kehadiran jemaah berdasarkan kapasiti ruang masjid dan surau.

Mufti Negeri Sembilan, Mohd Yusof Ahmad yang dipetik laporan FMT berkata, semua jawatankuasa masjid dan surau telah diminta mengikut SOP yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

“Sebenarnya tidak apa yang baru. Negeri Sembilan hanya meneruskan kebenaran solat Jumaat yang dahulu (membenarkan kehadiran mengikut kapasiti) dengan mengetatkan SOP yang dipantau oleh JHEAINS dengan kerjasama pihak polis,” katanya menurut laporan itu.

Mohd Yusof sebelumnya mengulas klip video tular dirakam seorang pemandu kononnya kebenaran solat Jumaat di Masjid At-Taqwa di Kampung Sentosa, Seremban tidak mengikut SOP PKP.

Pengarah JHEAINS, Mohd Zaidi Ramli sementara itu dipetik laporan serupa berkata, aktiviti solat Jumaat di Masjid At-Taqwa tidak melanggar SOP ditetapkan dan pemantauan dibuat oleh polis, penguat kuasa jabatan itu, RELA dan petugas masjid.

”Kapasiti sebenar Masjid At-Taqwa tanpa mengambil kira penjarakan fizikal adalah seramai 3,000 orang, manakala kapasiti dibenarkan dengan penjarakan fizikal seramai 1,200 orang.

“Bagaimanapun jemaah yang dilaporkan hadir pada hari tersebut adalah seramai 900 orang sahaja.

“Hal ini selaras dengan arahan kerajaan negeri membenarkan rumah ibadah dibuka untuk tujuan ibadah, bukan untuk upacara keramaian.

Sebagai rekod, Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun sebelum ini memaklumkan pelaksanaan solat Jumaat dan fardu di negeri itu sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP dibenarkan dengan kehadiran jemaah berdasarkan kapasiti ruang masjid dan surau.

“Jemaah diwajibkan membawa sejadah sendiri yang bersaiz besar, memakai pelitup muka, perlu mengambil wuduk di rumah dan mematuhi had keluasan melakukan ibadah dalam ruang utama masjid sahaja,” kata Aminudin.

 Mohd Zaidi gesa jemaah terus patuhi SOP
Sementara itu, JHEAINS menyeru umat Islam di Negeri Sembilan agar mematuhi semua SOP yang ditetapkan semasa berada dalam kawasan masjid dan selepas melaksanakan ibadah supaya tidak membuka ruang fitnah kepada umat Islam.

“Tohmahan sebeginilah yang sepatutnya dielakkan oleh umat Islam bagi menjaga kesucian dan kemurnian agama,” katanya selain memaklumkan bahawa tindakan tegas akan diambil ke atas mereka yang melanggar SOP.

Post a Comment

0 Comments