Dewan RM35 juta: Muhyiddin digesa beri penjelasan




MUHYIDDIN YASSIN digesa mengesahkan surat berkaitan peruntukan lebih RM35 juta yang diperuntukkan bagi membina dewan di kawasan Parlimennya, Pagoh.

Gesaan itu dibuat Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir susulan salinan surat dari unit penyelaras pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) kepada jabatan Kerja Raya yang tular di media sosial hari ini.
 
Melalui satu kenyataan di laman facebooknya, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu berkata, sekiranya surat berkenaan sahih, timbul persoalan apa kewajaran bagi pelaksanaan projek itu ketika negara berdepan wabak Covid-19.
 
“Kalau surat ini tidak benar, elok nafikan segera,” katanya merujuk surat bertarikh 11 Januari, hari sama dengan pengumuman penguatkuasaan darurat diumumkan Muhyiddin.

Adakah ini bermakna ketika darurat kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh bertindak sesuka hati membelanjakan wang rakyat dalam keadaan parlimen digantung?

“Bukankah lebih elok keutamaan dana diberikan untuk meningkatkan kemampuan petugas barisan depan atau mengurangkan bebanan yang ditanggung rakyat menghadapi darurat dan perintah kawalan pergerakan (PKP)?” soal Akmal lagi.

Sementara itu,  Ahli Parlimen Pulai Salahuddin Ayub  yang dipetik laporan Malaysiakini pula mendakwa terdapat rundingan langsung berhubung projek terbabit.

“Khabarnya (terdapat) rundingan langsung untuk bina dewan orang ramai RM35 juta. Kalau benar inilah bala darurat.

 Muhyiddin digesa sahkan surat yang tular
“Nak soal di mana? Pintu parlimen dikunci. Sembang di kedai mamak, pintu penjara terbuka. Nak bergayut di pagar istana apakan daya.

"RM35 juta belanja (untuk) rakyat masa Covid-19 ini bukankah bagus,” ciapnya di Twitter.

Untuk rekod, setakat ini kesahihan surat itu belum dipastikan.

Post a Comment

0 Comments