'Banyak dalil', Faiz Fadzil bidas Presiden PAS


PRESIDEN
PAS, Abdul Hadi Awang dibidas kerana mempertahankan pengisytiharan darurat dengan menyifatkannya sebagai selaras politik Islam.

Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil dalam satu kenyataan berkata dia tidak terkejut dengan tindakan Abdul Hadi itu kerana PAS memiliki banyak 'dalil' untuk menghalalkan 'kebatilan' yang dilakukan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa proklamasi darurat selaras dengan politik Islam bukanlah sesuatu yang memeranjatkan memandangkan PAS mempunyai banyak dalil untuk menghalalkan apa sahaja kebatilan kerajaan Perikatan Nasional (PN),"kata anak kepada bekas Presiden PAS, Allahyarham Dato' Haji Fadzil bin Mohd Noor

Abdul Hadi baru-baru ini mempertahankan pengisytiharan darurat dengan mendakwa ia adalah berlandaskan konsep Siyasah Syar'iyyah (politik Islam).

Kata Hadi, beberapa negara juga telah mengisytiharkan darurat kesihatan, sama ada dilaksanakan di seluruh negara atau kawasan yang terhad.

Bagaimanapun menurut Faiz, nasihat Muhyiddin agar darurat diisytiharkan menimbulkan banyak tanda tanya, memandangkan perintah kawalan pergerakan (PKP) atau PKP bersyarat (PKPB) memadai bagi meratakan lengkung jangkitan Covid-19.

"Ironinya, pentadbiran kerajaan termasuk eksekutif dan kehakiman serta industri dan perniagaan dibenarkan beroperasi seperti biasa kecuali parlimen," kata Faiz yang juga adalah seorang peguam.

Tambahnya, dengan parlimen digantung, fungsi utama badan legislatif itu untuk melakukan semak imbang terhadap polisi kerajaan juga tidak dapat dilaksanakan.

 Faiz tidak terkejut dengan sikap Abdul Hadi
"Justeru, penggantungan parlimen telah menyekat ahli parlimen untuk berbahas dan berdebat atas sesuatu isu berkepentingan awam dan negara.

"Oleh itu, darurat yang dipertahankan oleh PAS ini tidak selaras dengan konsep dan politik Islam yang sebenar," katanya dipetik.

Post a Comment

0 Comments