Banjir terburuk di Maran, pengunjung Bukit Fraser terkandas


SITUASI
banjir di Pahang dan Terengganu semakin buruk malam tadi dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat.

Menurut laporan Bernama setakat malam tadi, jumlah mangsa banjir di Pahang terus meningkat malam ini kepada 3,979 orang daripada 1,223 keluarga, berbanding 3,273 orang daripada 902 keluarga yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat petang semalam.

Setakat jam 8 malam tadi, sebanyak sembilan daerah di negeri itu dilapor terjejas dan 91 PPS sedang beroperasi.

Kuantan mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 1,097 orang diikuti Jerantut (634 orang), Raub (597 orang), Maran (594 orang), Rompin (420 orang), Temerloh (306 orang), Lipis (183 orang), Bentong (95 orang) dan Pekan (53 orang).

Hampir keseluruhan bandar Maran yang terletak kira-kira 70 kilometer dari Kuantan pula dinaiki air.

Bandar itu yang dinaiki air kira-kira 1.2 meter menyebabkan segala operasi premis perniagaan, bank dan beberapa bangunan agensi kerajaan terjejas hari ini. Ia disifatkan sebagai banjir terburuk dalam tempoh 7 tahun.

Di Terengganu pula, mangsa banjir membabitkan daerah Dungun dan Kemaman meningkat kepada 222 orang daripada 68 keluarga, berbanding 138 mangsa daripada 40 keluarga petang tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata di Dungun seramai 176 mangsa ditempatkan di dua PPS, iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja dan Dewan Serba Guna Kampung Shukor.

"Di Kemaman, seramai 46 mangsa dari 11 keluarga ditempatkan di Dewan Orang Ramai Teladas," katanya dalam kenyataan.

Di Johor, mangsa banjir mula berkurangan, Walau bagaimanapun setakat malam tadi, seramai 6,391 orang daripada 1,641 keluarga masih berada di pusat pemindahan.  

Lapan daerah terjejas banjir setakat 8 malam tadi dengan 60 PPS dibuka iaitu masing-masing dua di Pontian dan Batu Pahat; Kluang (19); Kota Tinggi (17); Johor Bahru (10); Kulai (lima); Mersing (empat) dan Segamat (satu).

Katanya, Kluang mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi iaitu 2,533 orang, diikuti Kota Tinggi (1,470 orang), Johor Bahru (1,432 orang), Kulai (581 orang), Mersing (311 orang), Batu Pahat (36 orang), Pontian (23 orang) dan Segamat (lima orang).

Beliau berkata, empat laluan di Kota Tinggi masih ditutup untuk semua kenderaan iaitu Jalan Sungai Sayong di Jambatan Sungai Sayong, Jalan Tun Sri Lanang di Bandar Kota Tinggi, Jambatan Jalan Semangar dan Jalan Mawai Lama, juga di Jalan Haji Suhud Taman Muhibbah, Johor Bahru yang ditutup berikutan jambatan runtuh.

Hujan yang turun di sekitar Pantai Timur Malaysia turut menyaksikan beberapa kejadian tanah runtuh.

Jalan Gua Musang-Lojing ditutup kepada semua kenderaan berikutan tanah runtuh di Kilometer 92, dekat Lojing, apabila laluan dua lorong itu dipenuhi bongkah batu, kayu dan lumpur selepas hujan lebat.

 Hujan akibatkan banjir dan tanah runtuh
Tidak terkecuali menerima kesan dari hujan berterusan ialah kawasan peranginan Bukit Fraser di sempadan Pahang - Selangor.

Beberapa pengunjung dilapor terkandas di kawasan peranginan itu selepas laluan turun arah Kuala Kubu Bahru di Selangor terhalang susulan kejadian tanah runtuh semalam.

Ia diburukkan lagi apabila laluan Bukit Fraser ke Raub turut terputus susulan jatuhan bongkah batu besar pada Disember lalu.

 

Post a Comment

0 Comments