Pembatalan HSR bazir wang pembayar cukai - AMK

 


KETUA Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mendesak pentadbiran Muhyiddin Yassin memberi penjelasan mengenai kos sebenar yang perlu ditanggung negara susulan pembatalan  projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Dalam satu kenyataan, Akmal Nasir menegaskan keputusan pentadbiran Muhyiddin itu telah menyebabkan kira-kira RM310 juta wang pembayar cukai telah dibazirkan, jumlah itu tambahnya tidak termasuk kos tambahan lain yang perlu ditanggung negara.

“Sumber tidak rasmi menyatakan pampasan, kos pembiayaan dan kerugian kepada pihak tempatan yang terlibat bakal mencecah RM700 juta,” katanya dalam kenyataan.

Kementerian Pengangkutan Singapura semalam mengesahkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur- Singapura (HSR) dibatalkan.

Kementerian negara itu dalam satu kenyataan  memaklumkan bahawa Malaysia perlu membayar pampasan kepada Singapura sebagai sebahagian daripada kewajiban berdasarkan perjanjian dua hala.

Sementara itu, Akmal menyatakan rasa kesalnya kerana negara terpaksa membayar pampasan susulan pembatalan itu,Menurutnya jumlah RM310 juta itu boleh dijadikan sumbangan kepada 150,000 mahasiswa dan pelajar daripada keluarga memerlukan komputer riba untuk mengikuti sesi pembelajaran atas talian.

“Tatkala banyak sektor gulung tikar, peluang pekerjaan terhad, pertumbuhan ekonomi bergerak perlahan; kini rakyat Malaysia terpaksa menanggung beban kerugian begitu besar, sedangkan wang rakyat sebanyak itu boleh disalurkan untuk menjana ekonomi dan memberi manfaat kepada rakyat yang terkesan teruk dari segi kewangan akibat Covid-19.” tambah Akmal lagi.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan perlu memberi penjelasan terperinci mengenai keputusan itu.

 M'sia kerugian wang pembayar cukai
Tambahnya, tindakan membatalkan projek yang memberi manfaat kepada rakyat negara ini, terutama penduduk sekitar Johor memberi gambaran jelas bahawa kepimpinan kerajaan hari ini bukanlah sebuah kerajaan yang boleh digantung harap.

"Ketidakstabilan dan goyahnya kerajaan hari ini memberi imej dan reputasi buruk kepada negara dan akan menanam ketidakyakinan kepada negara-negara luar untuk mengadakan rundingan atau untuk mencapai sebarang persetujuan dengan Malaysia.

"Ia memberi petunjuk bahawa kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan yang tidak boleh digantung harap," katanya lagi.
 

Post a Comment

0 Comments