SEPASANG suami isteri maut selepas tercampak keluar dari kereta dinaiki mereka sejurus terlibat kemalangan.
Kemalangan di Kilometer 23 Lebuhraya Seremban-Port Dickson petang semalam itu mengorbankan Seng Pang Hemg, 57 dan isteri, Lim Mei May, 50.
Difahamkan, Pang Hemg merupakan pemilik Restaurant Yacht di pusat peranginan tepi laut itu.
Dalam kejadian itu, anak saudara mangsa, Yee Siew Mei, 35, yang memandu kenderaan terbabit dilapor cedera parah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Mustafah Hussin, tiga beranak itu dalam perjalanan dari arah Telok Kemang menghala Seremban.
“Siasatan awal di tempat mendapati kereta jenis Honda HRV yang dipandu oleh seorang perempuan berusia 35 tahun dari arah Telok Kemang menghala ke Seremban telah hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian.
“Akibat hilang kawalan, kereta tersebut telah terbabas ke kiri jalan (kawasan lapang) dan dipercayai berpusing beberapa kali menyebabkan tiga mangsa yang berada dalam kenderaan tercampak keluar,” katanya di sini hari ini.
Susulan kejadian itu, Pegawai Perubatan Hospital Port Dickson (HPD) yang bergegas ke lokasi mengesahkan dua penumpang maut di tempat kejadian.
![]() |
Kenderaan mangsa berpusing beberapa kali |
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
0 Comments