KEADILAN kukuh kerjasama dalam HARAPAN


PARTI Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan terus bergerak kehadapan dengan mengukuhkan gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) sedia ada.

Pengarah komunikasi parti itu, Fahmi Fadzil berkata, KEADILAN yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan meningkatkan kerjasama dalam kalangan parti pembangkang seperti mana yang dipraktikkan semasa Belanjawan 2021 yang lalu.

pendirian itu dibuat ketika mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bulanan pada Ahad yang membincangkan beberapa isu dasar berhubung masalah rakyat, tatakelola serta keadaan politik semasa.

Sebagai rekod, pada sesi perbahasan Belanjawan baru-baru ini, Anwar menjemput semua wakli parti pembangkang untuk sama-sama membincangkan strategi menghadapi Belanjawan dibentangkan Perikatan Nasional (PN) itu.

Sementara itu, Fahmi juga menjelaskan bahawa sejak KEADILAN ditubuhkan pada 1999, parti itu sentiasa mendokong prinsip kerjasama, persefahaman dan gabungan politik melalui Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat serta gabungan yang ada kini.

“Selama tempoh itu, kerjasama, persefahaman dan gabungan politik ini berpegang kepada prinsip mendokong agenda Reformasi, menolak rasuah, kronisme serta kebobrokan yang berlaku dalam negara,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
 
Menyentuh isu lain dibincangkan parti itu pada mesyuarat diadakan Ahad lalu, Fahmi berkata, parti telah mengarahkan pimpinan untuk meneliti isu rakyat khususnya pengangguran yang masih tinggi, kenaikan harga barang dan ekonomi yang suram ketika Covid-19 melanda negara.

 KEADILAN akan terus teliti isu rakyat


Mesyuarat itu juga jelasnya telah memutuskan untuk mengupayakan wanita dalam bidang politik dengan keutamaan minima 30 peratus anggota wanita KEADILAN dalam penetapan calon dan lantikan politik seperti yang termaktub dalam Perlembagaan parti itu.


“KEADILAN akan sentiasa menilai perkembangan politik semasa secara bersama, dan akan meneruskan segala persiapan jentera dan perbincangan berkait PRU ke-15 berpandukan penilaian tersebut,” katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments