SEORANG aktivis alam sekitar memberi amaran aktiviti melombong elemen nadir bumi (REE) di Ulu Muda, Kedah akan membahayakan keselamatan bekalan air untuk berjuta-juta orang di negara itu.
Amaran itu diberikan pengarah Pusat Alam Sekitar Global (GEC) Faizal Parish.
“Kalau mereka membenarkan aktiviti melombong di kawasan tadahan itu, ia akan menjejaskan bekalan air.
“Kita tahu wujud kebimbangan serius mengenai pembalakan di kawasan itu, tetapi pembalakan tidak mempunyai impak seperti perlombongan.” katanya dipetik sebahagian laporan FMT.
Tambah Faizal lagi, kerajaan negeri yang dipimpin Perikatan Nasional (PN) wajar menyatakan secara terperinci mengenai rancangan mereka melombong REE seperti diumumkan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor pada Rabu. Ia termasuk memperincikan mengenai lokasi tepat kawasan yang dicadang mahu dilombongkan itu.
“Kita tahu terdapat banyak aktiviti pertanian dan hutan di Kedah. Jadi, di mana mereka akan melombong tanpa memberi kesan kepada alam sekitar?
“Kalau mereka kata ia di bawah sawah padi, adakah mereka akan gali? Apa yang akan berlaku ke atas penduduk di kawasan terbabit? ” soalnya lagi.
Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini berkata, Kedah menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat usaha sama yang berpangkalan di Kuala Lumpur untuk melombong REE yang dikatakan bernilai sehingga RM62 bilion di negeri itu.
Walau bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut mengenai syarikat tersebut.
Sementara itu, Greenpeace Malaysia juga memberi amaran kepada kerajaan Kedah supaya berhati-hati dalam melombong nadir bumi di negeri itu, sekali gus mengingatkan tentang kejadian pencemaran kesihatan dan alam sekitar sebelum ini di Bukit Merah, Ipoh dan Kuantan.
Bimbang bekalan air terancam |
NGO alam sekitar juga menggesa kerajaan Kedah menimbangkan kesan jangka panjang dan kos kewangan atas sebarang kemungkinan kerosakan terhadap alam sekitar dan juga kesihatan rakyat di kawasan berkenaan.
Untuk rekod, Hutan simpan Ulu Muda seluas 160,000 hektar di Kedah berfungsi sebagai kawasan tadahan air yang penting di wilayah utara, menyediakan 96% air mentah di Kedah, 80% di Pulau Pinang dan 70% di Perlis, selain menampung keperluan sekitar 4.2 juta pengguna.
0 Comments