Periga Tujuh wajar diiktiraf sebagai warisan - June Leow

 



KERAJAAN Persekutuan digesa mengiktiraf kawasan rekreasi Perigi Tujuh di Serendah, Rawang sebagai warisan kebangsaan.

Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui berkata kawasan tersebut yang merupakan kunci air yang dibina ketika zaman pentadbiran Inggeris lebih 100 tahun lalu wajar dipulihara dan dikekalkan.

Menariknya kawasan yang terletak kira-kira 5 minit perjalanan dari Bandar Rawang itu jelas June, telah dibina tanpa menggunakan teknologi moden namun berjaya mengurangkan risiko banjir yang kerap berlaku di kawasan tersebut.

“Walaupun 100 tahun lalu tiada jentera moden, tiada teknik kejuruteraan yang canggih, namun mereka mampu untuk menyelesaikan masalah banjir besar yang kerap berlaku.

“Yang lebih mengujakan, betapa berjayanya kejuruteraan pembinaan ini sehinggakan ia masih kekal berfungsi dengan baik sehingga ke hari ini.

“Oleh sebab itu, perlunya Perigi Tujuh ini diangkat sebagai warisan negara agar ia dapat dipelihara oleh pakar-pakar yang diiktiraf,” katanya dipetik Malaysiakini.

June mengharapkan dengan pewartaan itu, ia boleh memberi nilai tambah kepada tarikan sektor pelancongan, selain untuk memulihara, memelihara dan melindungi khazanah warisan tapak berkenaan.

Sementara itu June turut menggesa agar kerajaan dapat memperindah landskap kawasan berkenaan.

“Sebelum ini, taman rekreasi ini mempunyai pokok angsana namun sejak dua tahun ini, pokok-pokok tersebut dijangkiti penyakit dan merebak dengan pantas.

“Akhirnya pokok tersebut mati dan mereput dan mengakibatkan ia terpaksa dicantas demi keselamatan pengunjung.

“Oleh sebab itu, amat penting untuk menghidupkan semula landskap di kawasan ini agar dapat mengekalkan kesegaran di kawasan Perigi Tujuh ini,” katanya.

 Dibina untuk tangani masalah banjir
Untuk rekod, kawasan kunci air yang terletak berhampiran kawasan perkelahan Air Terjun Serandah itu telah disenarai antara 11 butiran di Selangor untuk kajian lanjut sebelum diwartakan sebagai tapak warisan, jika memenuhi kriteria.

Lokasi itu pernah dijadikan rujukan untuk pelajar sekolah melakukan ujian bagi kajian tempatan kerana keindahan senibina dan fungsi kunci air tersebut.


 

Post a Comment

0 Comments