3 kali ganda bahaya, KASA digesa tak benarkan perlombongan REE


AKTIVITI perlombongan unsur nadir bumi atau ‘rare earth elements’ (REE) di kawasan tadahan air Ulu Muda di Kedah bakal menyebabkan berlaku tiga kali ganda ancaman terhadap keselamatan bekalan air di Perlis, Pulau Pinang dan Kedah.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP dan PBA Holdings Bhd, Datuk Ir Jaseni Maidinsa berkata, ia bukan sahaja dibimbangi akan menjejaskan kawasan tadahan air terpenting di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) itu, namun boleh menyebabkan kemusnahan alam sekitar, pencemaran tanah dan air serta kontaminasi air mentah.
 
“Perlombongan REE bernilai RM60 billion pasti akan melibatkan pembukaan tanah berskala besar dan penebangan pokok untuk menjalankan operasi perlombongan di persekitaran hutan hujan yang asal.

“Operasi perlombongan untuk mengekstrak dan memproses REE akan menyebabkan pencemaran dan menghasilkan sisa yang akan meresap ke dalam tanah dan air bawah tanah yang berdekatan.

“Perlombongan dan pengekstrakan REE melibatkan bahan kimia toksik dan rawatan pelogaman untuk memisahkan REE dari tanah yang digali, termasuk mandian asid dan kolam pencucian serta hujan boleh menyebabkan toksin dan bahan kimia dibawa ke dalam Sungai Muda dan anak-anak sungainya, ” ujar beliau.

Justeru tegasnya, aktiviti tersebut bakal menyebabkan ancaman lebih merbahaya bagi punca air itu berbanding aktiviti pembalakan.

Sementara itu tegasnya, tiada negara didunia termasuk China menganggap perlombongan REE sebagai aktiviti ekonomi mesra alam dan tiada siapa yang dapat menafikan perlombongan REE menyebabkan masalah ketoksikan tanah serta air yang serius di kawasan pengeluaran.
 
Negara pengeluar REE terkemuka di dunia juga tidak melombong REE di kawasan tadahan air.

 Negara lain tidak melombong di kawasan tadahan
Justeru saran Jaseni, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan kerajaan Pusat tidak harus membenarkan perlombongan REE di Ulu Muda dijalankan.

Malaysia katanya mesti mengelakkan bencana yang akan membawa kesan buruk terhadap alam sekitar, kesihatan awam dan aktiviti sosio ekonomi di NCER.

Post a Comment

0 Comments