Masa sesuai HARAPAN tarik sokongan MP PN - Mahfuz

NAIB Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berpandangan, kini adalah masa paling sesuai untuk menarik sokongan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).

Dipetik laporan Astro Awani, Mahfuz berkata, sekarang  masa terbaik kerana semua pihak harus mengelak daripada berlakunya pilihan raya  terutama ketika wabak Covid-19 masih berada dalam keadaan tidak menentu.  

“Ini merupakan salah satu daripada proses pengabsahan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sama ada beliau benar-benar mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen atau tidak.

“Sehingga kini beliau masih belum mendapat keabsahan secara tuntas kerana usul berkaitan keabsahan itu tidak diangkat menjadi usul yang diundi di Dewan Rakyat.

“Cuma ada usul berkaitan bajet, itu pun dengan perbezaan sedikit undi. Undi ini tidak mencerminkan kedudukan kerajaan pimpinan Muhyiddin ini kerajaan yang kuat tapi ia adalah kerajaan yang lemah,” katanya dipetik.

Mahfuz yang merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena sebelumnya mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO,  Mohd Puad Zarkashi yang menggesa ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) melakukan tindakan berani dengan menarik semula sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mohd Puad melontar gesaan itu susulan apa yang didakwanya kegagalan kerajaan dipimpin Muhyiddin mengotakan janji terutamanya dalam mempermudahkan pengeluaran i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pemberian enam bulan moratorium secara automatik seperti diumumkan sebelum Belanjawan 2021 diluluskan.

 Mahfuz mengulas gesaan Mohd Puad Zarkashi
Tambah Puad, sekalipun tidak semua Ahli Parlimen BN mempunyai keberaniaan melakukannya sekitar tiga atau lima orang sanggup melakukannya boleh menjamin kejatuhan pentadbiran Muhyiddin.

Sementara itu, Mahfuz turut berkata,dengan jumlah majoriti tipis diperolehi Muhyiddin di Dewan Rakyat baru-baru ini, Ahli Parlimen Pagoh itu harus sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan sebarang usaha membuktikan keabsahan kerajaan beliau kelak.
 

Post a Comment

0 Comments