Oleh ISMAIL HASHIM | Apabila membaca berita Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu yang juga Adun Chenderiang dijatuhkan melalui undi percaya di Dewan Undangan Negeri Perak pada 4 Disember lepas, terasa semacam ada kesedaran kolektif antara Umno dan Pakatan Harapan atau jika dibingkaikan boleh juga diandaikan dengan parti DAP.
Kesedaran kolektif ini adalah konsep asas sosiologi yang merujuk kepada set kepercayaan yang dikongsi, idea-idea, sikap dan pengetahuan yang biasa kepada kumpulan sosial atau masyarakat. Kesedaran kolektif memberitahu rasa kekitaan dan identiti, dan tingkah laku kita.
Adalah dirasakan kesedaran kolektif yang dimaksudkan tidak berdasarkan kepada kesemua elemen-elemen di atas tetapi boleh menjurus kepada satu set kepercayaan yang dikongsi ialah menjatuhkan parti Bersatu. Dalam hubungan ini kesedaran kolektif adalah rasa kekitaan untuk menjatuhkan Menteri Besar Perak daripada tampuk kekuasaan. Inilah yang memegang rasa kebersamaan kesedaran kolektif komuniti politik dalam isu di Perak.
Kekadang langkah yang berlaku tidak rasional kepada masyarakat awam bayangkan misalnya Umno berkerjasama dengan DAP, soalan terfikir bagaimana boleh berlaku?
Bayangkan juga dalam kesepakatan yang diikat di peringkat nasional, perbuatan tikam dari dalam atas sebab-sebab tertentu iaitu layanan atau ketidakpuasan dalam penghormatan kepada sebuah parti yang mempunyai jumlah kerusi paling banyak dalam kerajaan PN Perak iaitu 25 kerusi dan merasakan hak jawatan Menteri Besar Perak itu menjadi milik mereka. Salah satu contohnya dapat dilihat di bawah ini.
Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, gerakan untuk mengatur langkah tersebut telah dirancang sejak dua bulan lalu. Puncanya mudah; kerana Faizal melantik Adun Pengkalan Hulu, Aznel Ibrahim sebagai setiausaha politik tanpa berbincang terlebih dahulu dengan Umno.
Fenomena ini adalah “ keseluruhan kepercayaan dan sentimen yang sama bagi ahli-ahli Umno yang merasakan mereka tidak mendapat layanan sepatutnya. Adakah kesedaran kolektif Umno-Bersatu telah mencapai suatu titik meruncing hinggakan satu “ingatan manis” harus dilakukan.
Dalam kenyataan di media, DAP Perak sedia bekerjasama dengan Umno ‘demi kepentingan rakyat’ dan bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang stabil.. Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata dia telah berbincang dengan semua parti dalam usaha membentuk kerajaan baru di Perak.
Dalam hubungan ini Pengerusi KEADILAN Perak Farshah Wafa Salvador Rizal Mubarak turut mengesahkan bahawa dia telah bertemu dengan pemimpin-pemimpin Umno bagi membincangkan soal pembentukan kerajaan negeri yang baru.
Katanya, KEADILAN terbuka untuk berganding bahu bersama Umno, dengan syarat, ia turut melibatkan rakan-rakannya dalam blok HARAPAN iaitu DAP dan Amanah.
Adakah akan wujud kerajaan Umno-DAP atau HARAPAN di Perak, PAS dikatakan enggan menyertai pembentukan kerajaan baharu ini yang diterajui Umno.
Daripada jumlah keseluruhan 59 kerusi, Umno memiliki 25 kerusi dalam kerajaan negeri Perak manakala DAP pula memiliki 16 kerusi. Kenyataan daripada dua pemimpin parti berkenaan membuka kemungkinan ke arah penubuhan satu kerajaan negeri yang boleh dikatakan tidak dijangkakan dalam sejarah politik negara.
Parti-parti lain dalam kerajaan negeri termasuklah Bersatu (5 kerusi), Amanah (5 kerusi), KEADILAN (3 kerusi), PAS (3 kerusi), Gerakan (1 kerusi) dan satu Adun bebas.
Kalaulah wujudnya pakatan Umno-DAP atau HARAPAN di Perak, bagi saya ia masih kesedaran kolektif mekanikal bersandarkan konteks dan situasi manfaat dan kebijaksaan politik yang diraih, walaupun matlamat akhirnya mungkin berbeza dan objektif mekanikal telah dicapai.
Apa yang dimaksudkan dengan mekanikal itu adalah sesuatu yang bersifat pragmatik yang boleh ditukar dan diubah kesedaran kolektif jika kepentingan dan konteks berbeza pula atas kebijaksaan dan kearifan semasa.
Ia tidak pula suatu kesedaran kolektif organik seperti hubungan Amanah dengan HARAPAN dan KEADILAN yang disebutkan Presiden Amanah Mohamad Sabu bahwa hubungan Amanah dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sudah dibina sejak 20 tahun yang lalu mesti dipertahankan.
Bagaimanapun menurut Mohamad di sebalik semua pihak mempunyai kelemahan masing-masing ianya perlu diperbaiki.“Begitu jugalah di dalam Pakatan Harapan yang menggabungkan tiga parti iaitu Amanah, DAP dan KEADILAN. Yang lebih utama bagi kita adalah kesatuan dan persahabatan.”
Adakah apa yang berlaku di Perak ini merupakan petanda atau isyarat Umno yang pada tarikh akhir perbentangan Belanjawan 2021 nanti suatu kesedaran kolektif akan berlaku apabila sebilangan ahli-ahli parlimen Umno akan menyokong HARAPAN untuk menentang belanjawan 2021 yang akan menjejaskan keabsahan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia?
Jika sebelum ini Tun Dr Mahathir Mohamad boleh merintis kerjasama dengan DAP, KEADILAN dan Amanah bagi menumbangkan UBN, tidak mustahil Umno boleh melakukan kesedaran kolektif sebegini.
Selain beberapa faktor di atas, kesedaran kolektif ini timbul juga berdasarkan kepada beberapa andaian iaitu adakah kedudukan Umno yang terdesak untuk mengembalikan maruah mereka dan kemaruk kuasa maka agak rasional dalam situasi sekarang bekerjasama dengan sebuah parti yang kuat seperti DAP dihalalkan?
Kedudukan BN yang meruncing kerana ramai orang India dan Cina telah menyatakan sokongan terbuka kepada DAP. Adakah di sebalik momokan DAP parti komunis, mementingkan agenda perkauman Cina dan anti-Melayu dan membelakangkan Islam, adakah Umno sudah menerima DAP sebagai parti arus perdana berbilang kaum di negara ini? Adakah Umno sudah terima DAP?
Umno pula amat bertentangan dari segi ideologi dan perjuangan dengan DAP. Sama ada hendak dipercayai atau tidak, atau mungkin dalam konteks di Perak, ada perkiraan bagi DAP bahawa untuk mereka berkuasa semula dalam konteks `real politik’, suatu konsolidasi baharu harus difikirkan di mana Umno adalah sebahagian daripadanya.
Jika penyokong DAP dan HARAPAN marah sangat dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tidak menyokong pembentangan dasar Belanjawan 2021 sehingga angkatan mudanya membayangkan supaya DAP bergerak sendiri meninggalkan HARAPAN atau KEADILAN, adakah ini merupakan langkah awalnya dan tidakkah ini mendatangkan kemarahan penyokong DAP dan angkatan mudannya pula? Atau adakah DAP menyokong Umno berada dalam perkiraan pakatan konsolidasi baharu ini?
ISMAIL HASHIM adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Komputeran, Universiti Selangor (Unisel).
Artikel ini disalin dari siaran di portal Malaysia Dateline dan ia tidak mencerminkan pendirian Kartelmedia.
0 Comments