Bebas Ku Nan, TI-Malaysia bimbang persepsi orang ramai


TRANSPARENCY  International Malaysia (TI-Malaysia) menyuarakan rasa bimbang akan persepsi orang ramai susulan pelepasan bersyarat bekas Menteri Wilayah, Tengku Adnan Mansor atas tuduhan rasuah.

Presidennya, Muhammad Mohan Abdullah walau bagaimanapun menggesa semua pihak tenang dan memberikan ruang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan lanjut dan mengemukakan hasilnya kepada Jabatan Peguam Negara.

“Kita mesti mematuhi kedaulatan undang-undang. Namun, TI-Malaysia bimbang kesan keputusan hari ini ke atas persepsi orang awam terhadap usaha memerangi rasuah di Malaysia.

“TI-Malaysia juga bimbang kesan kes ini terhadap kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang akan datang,” katanya dipetik laporan media.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi meluluskan permohonan Jabatan Peguam Negara untuk Tengku Adnan, yang lebih dikenali ‘Ku Nan’, dilepaskan tanpa dibebaskan atas tuduhan itu.

Keputusan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengeluarkan perintah melepas tanpa membebaskan Ku Nan selepas pihak pendakwaan memberitahu mereka tidak mahu meneruskan kes terhadap Tengku Adnan atas alasan “perkembangan baru”.

Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim, memohon perintah untuk “melepas tanpa membebaskan” Tengku Adnan kerana SPRM perlu melakukan siasatan lebih lanjut mengenai kes itu.

Ku Nan didakwa menerima RM1 juta daripada ahli perniagaan Tan Eng Boon untuk meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (kini dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk meningkatkan nisbah plot industri sebidang tanah di Jalan Semarak.

Tan telah dijatuhkan denda RM1.5 juta oleh mahkamah atas tuduhan alternatif bersubahat dengan Ku Nan bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
 
Sementara itu, Muhammad berkata pada tahun lalu, Malaysia memperbaiki kedudukannya dalam CPI secara nyata, hasil ketegasan menjalankan siasatan berprofil tinggi dan membawa mereka yang terlibat menghadapi pertuduhan di mahkamah.

 Tengku Adnan dibebaskan tanpa dilepaskan


“Kita berharap iltizam ini sentiasa diasah dan diperkasakan untuk menzahirkan azam memerangi rasuah tanpa mengira bulu atau pilih kasih,” kata beliau.


Difahamkan, Ku Nan masih perlu berdepan satu lagi pertuduhan di Mahkamah Tinggi lain, yang mana dia didakwa menerima RM2 juta daripada ahli perniagaan, Chai Kin Kong, pada 2016.

Mahkamah menetapkan 21 Dis untuk keputusan kes itu.

Post a Comment

0 Comments