SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didesak memberi penjelasan mengenai keputusan mereka yang melepaskan Tengku Adnan Tengku Mansor dari pertuduhan rasuah membabitkan suapan bernilai RM1 juta.
Faiz Fadzil yang dipetik laporan Malaysia Dateline berkata, alasan bahawa adanya perkembangan kes yang memerlukan siasatan lanjut sehingga membebaskan bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu sama sekali tidak masuk akal.
Beliau turut mempertikaikan kewajaran melaksanakan siasatan lanjut sedangkan Ahli Perniagaan, Tang Eng Boon yang didakwa bersubahat dalam kes rasuah itu telah mengaku bersalah menawarkan suapan.
“Biasanya, kes sebegini amat mudah bagi pihak pendakwaan membuktikan kes. Ironinya, pemberi rasuah telah mengaku salah, yang menerima rasuah tidak bersalah.
“Lagipun, untuk apa lagi siasatan lanjut sekiranya pemberi rasuah telah pun mengaku salah dan dihukum.
“Satu penjelasan komprehensif dan telus perlu dibuat oleh SPRM secara terbuka dengan seberapa segera supaya janji kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menjamin integriti tadbir urus benar-benar ditunaikan,” kata Ahli Jawatankuasa parti AMANAH itu.
Mahkamah Tinggi pagi tadi memutuskan untuk melepaskan tanpa membebaskan Tengku Adnan yang dikenali Ku Nan selepas pihak pendakwa raya menarik semula pendakwaan terhadapnya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan sebagai upah untuk membantu permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) bagi menambah nisbah plot sebidang tanah berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur, diluluskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Sebelum ini, Tan telah dijatuhkan denda RM1.5 juta oleh mahkamah atas tuduhan alternatif bersubahat dengan Ku Nan bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Sementara itu menurut Faiz yang juga seorang peguam, keadaan yang berlaku ketika ini mencalarkan kredibiliti SPRM dan institusi undang-undang negara, selain bakal menyaksikan negara sekali lagi diheret ke arah situasi korup yang kritikal.
Faiz Fadzil mahu penjelasan SPRM |
0 Comments