Jumlah kes Covid-19 di Malaysia lepasi angka 100,000 kes


MALAYSIA telah melepasi angka keseluruhan positif Covid-19 melebihi 100,000 kes.

Dalam sidang medianya siang tadi, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Seri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sebanyak 1,581 kes dilaporkan setakat tengahari tadi.

Sekaligus ia menjadikan keseluruhan kes dilaporkan sejak wabak itu melanda di negara ini berjumlah 100,318 kes.

Menyentuh perkembang dalam tempoh 24 jam lalu, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat 491 kes di Selangor, ia diikuti  Kuala Lumpur (379), Sabah (249) dan Negeri Sembilan (144) serta negeri-negeri lain.

Sebanyak 270 kes (17.1 peratus) yang dilaporkan hari ini adalah berkaitan kluster-kluster di lokap dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (185 kes), Kluster Tembok Gajah (74 kes), Kluster GK Tawau (6 kes), Kluster Tembok (4 kes), dan Kluster Bakti (1 kes).

Dr Noor Hisham juga memaklumkan terdapat sebanyak 468 kluster dilaporkan termasuk empat kluster baru pada hari ini.

Empat kluster baru tersebut adalah kluster Kebun Baru (Kuala Langat), kluster Sungai Burong (Kuala Selangor), kluster Tapak Bina Jalan Tun (Lembah Pantai, Kuala Lumpur) dan kluster Jalan Pandan (Kuala Lumpur dan Selangor).

Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 262 termasuk enam kluster yang tamat pada hari ini iaitu kluster Kasir, kluster Tomher MC, kluster Utama, kluster Rengas, kluster Mampulut dan kluster Haven.

Kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 kini setakat kini adalah 18,773 kes.

Manakala sebanyak 1,085 lagi pesakit sembuh sepenuhnya, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 81,099 pesakit pulih daripada wabak berkenaan.

 Malaysia mereokodkan kes melebihi 100,000
Dr Noor Hisham turut memaklumkan dua lagi kematian terbaru, menjadikan jumlah kematian kini sebanyak 446 kes.

"Sehingga kini, terdapat 102 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 45 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

 

Post a Comment

0 Comments