RM2 juta "masuk poket" Ku Nan - Mahkamah

WANG RM2 juta yang diberikan ahli perniagaan  Chai Kin Kong kepada Tengku Adnan Tengku Mansor dianggap untuk manfaat peribadi bekas menteri itu, kata Hakim Mahkamah tinggi dalam keputusannya semalam.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan dalam penghakiman 87 halaman yang dilapor Bernama berkata, Syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) dimana akuan nya digunakan untuk pemindahan wang itu bertujuan untuk berselindung bagi menerima hasil perbuatan salah tersebut.

Katanya, tiada bukti menunjukkan Tengku Adnan telah mengeluarkan wang  yang dimasukkan ke akaun THSB untuk membayar perbelanjaan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak pada 2016, walaupun jika mahkamah menerima bahawa Pengarah jentera PRK Sungai Besar Rizalman Mokhtar dan  Penyelaras sukarelawan Barisan Nasional (BN) Zakaria Dullah menerima wang daripada tertuduh.

Hakim itu berkata Tengku Adnan sama sekali tidak menunjukkan sumber wang yang didakwanya diberikan kepada Rizalman dan Zakaria.

"Dia mengaku telah memberi mereka wang. Dia berkata dia telah meminta Tan Sri Chai membayar kepada Tadmansori, kerana dia telah mendahulukan wangnya sendiri.

“Sekiranya demikian, dia sepatutnya dapat menunjukkan pengeluaran wang daripada akaun bank Tadmansori. Tidak ada langsung. Tertuduh tidak memberikan penjelasan.

“Tidak ada bukti mengenai sumber wang yang didakwanya diberikan kepada Rizalman dan Zakaria. Adalah penting untuk menunjukkan bahawa wang yang didakwanya dikeluarkan pertama kali daripada akaun bank Tadmansori untuk menjustifikasi arahannya kepada Tan Sri Chai agar cek tersebut dapat dibayar kepada Tadmansori.

“Dalam penghakiman saya, tertuduh telah masukkan RM2 juta itu ke dalam poketnya sendiri," katanya dipetik laporan itu.

Mohamed Zaini berkata dakwaan Tengku Adnan mendahulukan lebih RM2 juta untuk PRK itu adalah suatu yang difikirkan kemudian.

"Oleh itu, terbukti bahawa tertuduh menggunakan Tadmansori untuk berselindung bagi menerima hasil perbuatan jenayahnya," kata hakim.

 Hakim sukar terima penjelasan Ku Nan
Semalam, Tengku Adnan yang merupakan Ahli Parlimen Putrajaya mewakili Umno didapati bersalah berhubung tuduhan menerima rasuah. Dia dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta atau penjara enam bula jika gagal membayar denda berkenaan.

Hakim itu berkata mahkamah tidak dapat menerima bahawa Tengku Adnan sahaja yang diamanahkan untuk mengumpulkan dana bagi dua pilihan raya kecil itu kerana kedua-dua kawasan ini tidak berada dalam kawasannya sebagai Pengerusi Umno/BN Wilayah Persekutuan.

"Dia juga bukan bendahari seperti yang didakwa.

“Saya berpendapat, keterangan mereka ( Rizalman Mokhtar dan Zakaria Dullah) dibuat setelah peristiwa itu dalam usaha untuk menyokong pembelaan Tengku Adnan," kata Mohamed Zaini lagi.

Post a Comment

0 Comments