Daging halal: Azan Ismail persoal jaminan Timbalan Menteri


PENGERUSI
Parti Keadilan Rakyat ( KEADILAN) Terengganu, Azan Ismail tidak berpuas hati dengan jaminan status halal daging dalam pasaran oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Rosol Wahid.

Bekas Ahli Parlimen itu yang dipetik laporan Malaysiakini berkata, seliaan halal adalah di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan bukan KPDNHEP.

"Meskipun Rosol bagi jaminan, namun status halal adalah di bawah seliaan agensi-agensi lain seperti majlis berkuasa agama Jakim.

"Setakat ini untuk meredakan kebimbangan umat Islam malaysia, Jakim dan agensi berkaitan sepatutnya yang memberi jaminan.

"Adakah Rosol seperti Rasul untuk sewenang- wenangnya bagi jaminan halal kepada semua daging dalam negara selain daging babi di dalam pasaran?" katanya dalam satu kenyataan.

Bernama sebelum ini melaporkan KPDNHEP akan membuat pemantauan berterusan dan serbuan secara berkala terhadap syarikat atau pengedar berkaitan daging import.

Ia susulan pendedahan sindiket yang membawa masuk daging haram sebelum melabelkannya semula sebagai halal yang turut didakwa didalangi kakitangan kerajaan.

Pentadbiran Muhyiddin Yassin dikritik kerana lewat memberi respon terhadap isu itu.

Sementara itu dalam kenyataan sama, Azan mempersoal apakah KPDNHEP yang ada ketika ini berupaya untuk memastikan tahap halal seluruh negara dipatuhi.

Kesahan halal dibawah agensi agama, kata Azan
"Berupayakah dia dengan kakitangan KPDNHEP yang ada memeriksa tahap halal pasaran seluruh negara?.

"Sedangkan agensi yang sepatutnya bertindak dalam pematuhan sijil dan kesahan halal adalah agensi Jakim dan pihak berkuasa agama Islam.

"Mengapa prosedur aduit Halal yang telah sekian lama dituntut tidak dilaksanakan?" soal Azan.

Post a Comment

0 Comments