Bekas Speaker DUN Johor meninggal dunia


BEKAS
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Tan Sri Mohamad Aziz, 80, meninggal dunia kira-kira jam 10.50 malam tadi.

Perkara itu dimaklumkan oleh Speaker DUN Johor, Suhaizan Kayat sambil memaklumkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultan Ismail (HSI) akibat sakit tua.

Suhaizan sementara itu menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar kerana sering memberikan nasihat berguna dalam mengendalikan DUN Johor.

“Selepas pelantikan saya sebagai Speaker Dewan Johor pada 2018, saya sempat ziarah Allahyarham di Sri Gading.

“Banyak nasihat-nasihat berguna yang beliau berikan pada saya. Moga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang soleh,” katanya dalam kenyataan.

 Allahyarham berusia 80 tahun
Sementara itu, anak Allahyarham, Shukur Mohamad dipetik laporan Utusan memaklumkan, jenazah bapanya akan dibawa pulang ke kediaman terletak di Taman Nong Chik untuk urusan pengkebumian.

Allahyarham sebelum ini adalah Speaker DUN Johor dari 2013 sehingga 2018 dan pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani serta Ahli Parlimen Sri Gading.

Selain itu, beliau pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri dengan memegang portfolio Pengerusi Pembangunan Sosial dan Kebajikan Masyarakat.