Apa erti gabungan besar jika kerosakan di ulangi, tegas Anwar


GABUNGAN  besar membabitkan pelbagai parti pembangkang tidak bermakna selagi pemimpin  terus mengulangi kerosakan lalu, tegas Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN).

Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku 100 Esei Seni dan Sastera Era Reformasi 2008 di Shah Alam hari ini berkata, Kerajaan HARAPAN sebelum ini telah gagal menunjukkan kesungguhan mereka kepada rakyat dalam usaha membenteras rasuah.

Peluang melakukan reformasi itu tegasnya telah disia-siakan sepanjang 22 bulan Putrajaya di bawah kepimpinan Dr Mahathir Mohamad.

HARAPAN ketika itu jelasnya hanya lantang mengkritik pentadbiran Barisan Nasional berhubung skandal 1MDB, serta rasuah membabitkan pemimpin Umno.

“Ya kita keras dalam isu rasuah, isu 1MDB, rasuah dalam kalangan pemimpin Umno, tapi kita banyak tolak ansur dengan rasuah di kalangan puak-puak kita.

"Di antaranya menjadi pengkhianat besar, ini yang menyebabkan saya katakan kita hilang paksi perjuangan,” katanya dipetik.

Ahli Parlimen Port Dickson itu dalam ucapannya turut mengingatkan bahawa rakyat memilih HARAPAN menjadi kerajaan kerana mereka mahukan perubahan khususnya dalam usaha menangani rasuah.

Namun dengan apa yang berlaku tegasnya telah menyebabkan rakyat kecewa.

Untuk rekod, Kerajaan HARAPAN sebelum ini dikritik dalam beberapa isu, ia antaranya berhubung kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang dijadikan modal politik musuh mereka.

HARAPAN turut dikritik susulan kenyataan Dr Mahathir ketika itu yang berkata bahawa manifesto dijanjikan HARAPAN bukan kitab suci yang kemudian dijadikan alasan untuk melanggar apa yang dijanjikan kepada rakyat sebelumnya.

Bekas perdana menteri itu turut dikritik kerana cuba melengah-lengahkan peralihan kuasa kepada Anwar, yang telah dijanjikan sebagai penggantinya sehingga kerajaan itu ditumbangkan melalui apa yang disebut sebagai pengkhianatan beberapa Ahli Parlimen.  

Sementara itu dalam ucapannya juga Anwar berkata, perubahaan secara besar-besaran perlu dilakukan bagi menyakinkan rakyat bahawa  HARAPAN mampu mentadbir lebih baik berbanding kerajaan sebelumnya.

 Anwar akui rakyat kecewa
“Ketika kita menjadi kerajaan maka harus diperlihat satu sikap berbeza. Kalau program kita semua hampir sama (dengan pentadbiran terdahulu) cuma baik sikit, kalau rasuah kurang sikit berlaku, kalau tolong rakyat lebih sikit, ini bukan reformasi.

"Sepatutnya kita letakkan satu asas yang kebih baik, tapi ini tidak lansung memperlihat semangat dan keupayaan reformasi, ini yang menyebabkan rakyat kecewa,” kata Anwar lagi.

Post a Comment

0 Comments