ADUN Meru cadang heret Top Glove ke mahkamah


ADUN
Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar dilapor sedang mempertimbangkan tindakan mahkamah terhadap syarikat pengeluar sarung tangan getah Top Glove.

Ia susulan syarikat itu didakwa terus membiarkan kilangnya di Klang beroperasi walaupun dikaitkan dengan penularan Covid-19 melalui Kluster Teratai.

Menurut Mohd Fakhrulrazi,  kluster itu tidak lagi hanya melibatkan pekerja kilang syarikat itu tetapi telah merebak ke masyarakat setempat.

"Berdasarkan maklumat yang saya terima setakat ini, sekurang-kurangnya 11 penduduk Meru telah dijangkiti Covid-19. Ini adalah orang yang tinggal di kawasan yang telah ditempatkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

"Kita sedang menunggu pengumuman rasmi Kementerian Kesihatan untuk melihat angka hari ini," katanya dipetik laporan Malaysiakini.

Sebagai rekod,  Kluster Teratai pertama kali diumumkan pada 7 November bermula dengan jumlah kes positif  sebanyak 74 orang dan kini terus meningkat dengan lebih 5,000 kes.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sekurang-kurangnya 150 kes jangkitan dalam komuniti berkaitan kluster berkenaan telah dikesan.

Difahamkan, kerajaan  mengenakan PKPD selama 14 hari di lokasi di Meru yang menempatkan asrama pekerja Top Glove. Perintah itu telah dilanjutkan selama dua minggu lagi hingga 14 Disember ini. Namun perintah itu didakwa tidak termasuk kilang berkenaan.

BACA:
Kluster 'Top Globe' mula menular dalam komuniti tempatan


"Setakat yang saya tahu, ada kilang (Top Glove) yang masih beroperasi. Saya berharap mereka akan menghentikan semua operasi buat sementara waktu.

"Kami akan terus menekan mereka (untuk melakukannya). Dan saya memikirkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Top Glove bagi pihak penduduk Meru," kata Fakhrulrazi lagi.

Merebak kepada penduduk tempatan
Pihak berkuasa pada minggu lalu memerintahkan syarikat itu untuk menutup semua 28 kilang yang ada di Klang.

Kluster Teratai dilapor menjadi penyumbang terbesar bagi kes positif harian Covid-19 di negara ini pada Selasa  dengan mencatat 778 kes, atau 52.9 peratus daripada jumlah keseluruhan 1,472.


Post a Comment

0 Comments