DEWAN UNDANGAN NEGERI (DUN) Negeri Sembilan sebulat suara meluluskan Belanjawan Negeri 2021 pada persidangan yang diadakan semalam.
Dipetik laporan Bernama, Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) Negeri Sembilan itu yang memperuntukkan sejumlah RM560 juta telah dibahaskan selama tiga hari bermula 30 Nov lepas.
Perbahasan belanjawan terbesar dengan bertemakan ‘Merangsang Ekonomi dan Memperkasa Rakyat’ itu membabitkan 35 ahli DUN kerajaan dan pembangkang.
Menteri Besar Aminuddin Harun ketika menggulung perbahasan berkata kerajaan berjaya meningkatkan kedudukan rizab negeri daripada RM687.77 juta pada 2018 kepada RM1.002 bilion pada 2020.
“Ini bermakna kerajaan berjaya mengumpul rizab negeri sebanyak RM315 juta dalam tempoh dua tahun (2018-2020),” katanya pada sesi penggulungan perbahasan RUU itu yang dilakukan bersekali dengan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Diraja di Seremban.
Mengenai anggaran pembangunan Negeri Sembilan 2021 yang berjumlah RM153 juta, Aminuddin berkata ia merupakan strategi kerajaan sebagai dasar pemulihan.
“Ia akan memberi kesan berganda kepada sektor ekonomi dan akan membantu sekurang-kurangnya 12 sektor rantaian industri pembinaan seperti simen, pasir, batu, besi, cat, mesin, peralatan dan jentera.
“Ini pasti membuka banyak peluang pekerjaan dan merancakkan aliran tunai domestik,” katanya.
Aminuddin turut menganggarkan input pembangunan berjumlah RM153 juta itu akan menghasilkan output sebanyak RM310.59 juta.
Exco potong gaji 10 peratus selama 6 bulan |
Sementara itu, Aminuddin berkata semua Exco Negeri Sembilan bersetuju untuk memotong 10 peratus gaji masing-masing bagi tempoh enam bulan mulai Jan untuk disalurkan ke dalam Akaun Amanah Bencana Negeri Sembilan.
0 Comments