Kluster 'Top Globe' mula menular dalam komuniti tempatan


JANGKITAN
Kluster Teratai yang bermula daripada asrama pekerja kilang Top Glove di Klang kini dilapor telah menular dalam komuniti di luar kawasan tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang dipetik laporan Sinar berkata,  sekurang-kurangnya 150 kes jangkitan dalam komuniti berkaitan kluster berkenaan telah dikesan.

Difahamkan, penularan itu berlaku dikalangan pekerja tempatan yang menjangkiti wabak itu kepada ahli keluarga mereka yang lain.

"Kita lihat sekarang ini warga asing tinggal di asrama dan penginapan disediakan majikan tetapi ada 164 pekerja tempatan yang duduk di rumah masing-masing," katanya.  

"Kita dapati sudah ada dua generasi jangkitan yang membabitkan ahli keluarga," katanya pada sidang akhbar semalam.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya telah memulakan saringan dalam komuniti untuk mengesan jangkitan tersebut.

"Kita menggunakan kita ujian pantas antigen (RTK-Ag) dalam kalangan penduduk di Meru, Klang," katanya.

Setakat ini, Kluster Teratai merekodkan sebanyak 5,083 kes positif Covid-19 daripada 6,609 individu yang disaring.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar menyatakan rasa bimbang terhadap penularan wabak itu yang mula menjangkiti penduduk Meru, Klang.

Melalui satu kenyataan di laman Facebooknya sebelum ini, Fakhrulrazi merayu Kerajaan Pusat menghentikan sementara semua operasi kilang Top Glove secepat mungkin.

Sekurang-kurangnya 150 kes dikesan
"Saya selaku wakil rakyat Meru memohon dan merayu supaya kerajaan Pusat menghentikan sementara semua operasi kilang Top Glove secepat mungkin.

"Keselamatan penduduk Meru lebih utama sekarang daripada keuntungan kilang Top Glove," katanya menerusi kenyataan.

Post a Comment

0 Comments