TINDAKAN mengehadkan jumlah Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat pada satu-satu masa dianggap ancaman kepada demokrasi, kata seorang peguam.
Andrew Khoo yang dipetik laporan FMT berkata, walaupun alasan mengehadkan 80 ahli Parlimen untuk mengekang penularan Covid-19 tepat, namun hak baki 142 ahli Parlimen untuk mengambil bahagian dalam perbahasan tidak patut dirampas dengan membiarkan mereka tidak dapat mengambil bahagian dalam perbahasan.
“Anda menafikan hak mereka sebagai ahli Parlimen dan kewajipan mereka menghadiri sidang Parlimen serta menjalankan tugas mereka untuk mewakili rakyat yang memilih mereka,” katanya dipetik laporan itu.
Merujuk kepada pendemik Covid-19 yang sedang melanda dunia, Pengerusi bersama Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam itu menjelaskan banyak cara lain boleh dilakukan bagi memastikan semua Ahli Parlimen dapat menjalankan fungsi mereka.
Khoo turut memberi contoh dimana Parlimen UK mengambil langkah proaktif mengadakan prosiding dalam talian dan hanya 50 ahli Parlimen ke Parlimen, manakala 120 lagi dibenarkan menghadiri persidangan itu dalam talian.
“Banyak Parlimen lain di seluruh dunia menyelaras peraturan mereka sebagai respons kepada pandemik tanpa berkompromi peranan mana-mana ahli Parlimen dan tanggungjawab untuk mewakili pengundi sepenuhnya.
Khoo memberi contoh persidangan negara luar |
“Kita melaksanakan sekatan pergerakan Covid-19 pada 18 Mac, Ia tidak dapat diterima lebih 7 bulan kemudian, Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat tidak dapat diubah suai untuk membenarkan persidangan secara maya. Apa yang Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat buat selama ini?” soalnya sambil berharap pengagihan ahli Parlimen untuk hadir di Parlimen secara fizikal adalah seimbang antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.
Untuk rekod, Dewan Rakyat mengehadkan hanya 80 Ahli Parlimen boleh masuk kedalam Dewan dengan komposisi 41 dari pihak kerajaan dan 39 dipihak pembangkang.
Sementara itu, beliau turut mempersoalkan pengehadan masa untuk ahli Parlimen bertanya soalan, yang menurutnya akan melemahkan sistem semak dan imbang serta menjejaskan sistem demokrasi.
Dipetik laporan sama, seorang lagi peguam bersetuju bahawa sidang Parlimen dalam talian adalah pilihan terbaik dan speaker boleh merealisasikannya dengan menggantung peraturan yang memerlukan semua ahli Parlimen untuk duduk di tempat mereka di bawah Peraturan Mesyuarat 90.
Sambil menjadikan Parlimen Maldives sebagai contoh kerana kejayaannya mengadakan prosiding dalam talian, Lim Wei Jiet berkata, speaker kemudiannya boleh tampil dengan garis panduan untuk mengadakan persidangan secara maya.
“Malah, Parlimen kita boleh bermula dengan prosiding hibrid terlebih dahulu, seperti yang dilakukan di UK baru-baru ini. Sesetengah ahli Parlimen menghadiri prosiding secara fizikal, manakala yang lain secara maya. Terdapat pelbagai pilihan untuk memudahkan peralihan kepada Parlimen maya sepenuhnya secara lancar,” tulisnya di Facebook.
0 Comments