Isu baju Melayu, ada pihak cuba main isu perkauman


WALAUPUN telah diberi teguran semalam, namun beberapa Adun Barisan Nasional (BN) Selangor masih tidak mematuhi kod pakaian sidang DUN ditetapkan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri.
 
Yang di-Pertua Dewan yang kecewa dengan sikap Adun terbabit mendakwa mereka menggunakan isu baju Melayu untuk “mempermainkan” sentimen terhadapnya sebagai pemimpin DAP dan cuba memaksanya membuat mengeluar arahan menghalau mereka keluar dewan.

Menurut Ng, perkara mengenai etika pakaian telah dibangkitkan dan mereka telah berjanji untuk mematuhinya, namun tidak membuat demikian.
 
“Yang saya tegur iaitu ketua pembangkang (Adun Sungai Air Tawar, Rizam Ismail) dan yang lain telah berjanji dengan memberitahu kepada rakyat hari ini mereka akan patuh, dalam WhatsApp pun mereka ada beritahu akan patuh. Tetapi, malang tidak berbau, mereka tetap tidak mengikut peraturan.

“Saya nak tegaskan, kenapa sukar sangat untuk patuh peraturan?” Ng berkata demikian sebelum perbahasan mengenai belanjawan negeri.

Semalam berlaku pertikaiaan mengenai etika berpakaian setelah beberapa Adun pembangkang termasuk Ahmad Yunus Hairi (PAS-Sijangkang) mengenakan baju melayu bagi menghadiri sesi perbahasan. Bagaimanapun, Ahmad Yunus hari ini hadir dengan mengikut ketetapan diberikan.

BACA: ADUN pembangkang S'gor ditegur Speaker


Semalam Ng menjelaskan bahawa Adun perlu memakai sut lounge ketika sidang dan baju kebangsaan hanya dibenarkan pada hari Jumaatdan perkara itu telah dinyatakan dalam jemputan ke sidang DUN yang diedarkan.

Beliau mahu Adun mematuhi peraturan dewan supaya rakyat dapat melihat mereka sebagai pemimpin yang berdisiplin.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail (HARAPAN- Batu Tiga) hari ini bangkit menggesa agar ketetapan mengenai etika pemakian dihormati, jelasnya Ng membuat keputusan bawah Peraturan Mesyuarat 87(7) semalam berhubung kod pakaian lelaki.

Sementara itu, Ng enggan masa perbahasan terbuang dengan isu tidak sepatutnya, Adun tegasnya perlu menggunakan masa yang ada dalam persidangan itu untuk bercakap mengenai isu substantif seperti gangguan bekalan air dan Covid-19.

“Gunakan isu air, isu Covid dan sebagainya dan saya akan beri peluang secukupnya,” katanya.

Ada pihak cuba main isu kaum
Sementara itu di media sosial, segelintir pihak tidak bertanggungjawab mula memainkan sentimen perkauman susulan teguran Ng terhadap ADUN yang tidak mematuhi kod etika ditetapkan dengan mendakwa ada cubaan dari DAP untuk menindas orang Melayu.

Bagaimanapun, kebanyakan warganet mengkritik individu tidak bertanggungjawab itu dengan menegaskan bahawa isu dibangkitkan Ng adalah mengenai ketetapan Dewan dan bukan percubaan menindas orang Melayu.
 
"Etika pakaian di dlm dewan pun tak reti nak ikut .. lepas tu buat fitnah di sosial media ..apa nak jadi umat melayu," kata Adi Parey ddi ruang komen sebuah kumpulan facebook.