Bekas pemain bola Kelantan meninggal dunia


BEKAS
pemain bola sepak Kelantan era 90-an, Saiful Nizam Hussin, 45, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian tengah malam tadi.

Abang Allahyarham, Mohd Ausri Hussin, 53, yang dipetik laporan Bernama memberitahu, Saiful Nizam meninggal dunia selepas menjalani operasi pembedahan membuang ketumbuhan pada bahagian otak buat kali kedua dan hampir lapan hari tidak sedarkan diri.

"Allahyarham mengalami ketumbuhan itu sejak tiga bulan lepas," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Husin Deraman berkata, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada sukan bola sepak di negeri ini.

Kelab Bola Sepak Kelantan United (KUFC) turut berduka dengan pemergian Saiful Nizam yang telah membawa imej sukan bola sepak Kelantan di pentas negara ketika zaman beliau beraksi.

Saiful Nizam (tengah) mengalami ketumbuhan
"Bagi pihak pengurusan tertinggi kelab, jurulatih dan semua pemain merakamkan ucapan takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham.

"Kami mendoakan Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh," menurut KUFC menerusi satu kenyataan.

Allahyarham Saiful Nizam pernah bermain dengan pasukan Kelantan di posisi pertahanan dan namanya pernah beraksi bersama Zahasmi Ismail, Hardi Ahmad dan Roslisham Mohd Noor.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri berumur 40 tahun dan tiga anak berusia lapan hingga 22 tahun.

Jenazahnya dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Tambak, Pintu Geng di sini selepas asar.


Post a Comment

0 Comments