S'gor terus perkasa kebajikan anak istimewa


KERAJAAN negeri Selangor pimpinan KEADILAN terus memperkasa kebajikan anak istimewa di negeri itu.

Exco Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM3 juta setahun melalui Program Intervensi Awal Kanak-kanak atau Early Intervention Programme (EIP) khusus bagi membantu golongan itu.

Ia jelasnya secara langsung untuk membantu golongan anak istimewa di Selangor mendapatkan perkhidmatan pendidikan, terapi dan pemulihan dalam memenuhi keperluan mereka.

"Antara program yang telah disediakan adalah Program Bantuan Kewangan Kepada Institusi EIP, Program Bantuan Khas Didik Anis dan Program Pendidikan Bersama Cikgu Anis.

"Selain itu, kerajaan negeri juga telah memperkenalkan Program Kasih Ibu Smart Selangor Ibu Tunggal (KISS IT) yang mana ia

ditambah baik daripada program KISS sedia ada sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan pandemik Covid-19," katanya pada perbahasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) selangor awal minggu ini.

Siti Mariah sebelumnya menjawab pertanyaan daripada G Gunaraj (Sentosa) mengenai usaha yang akan diambil oleh kerajaan negeri bagi membantu golongan orang kurang upaya (OKU) yang gagal mendapatkan bantuan kebajikan.

Selain itu jelasna, golongan istimewa ini juga berpeluang untuk menerima manfaat melalui Skim Mesra Usia Emas (SMUE) OKU yang turut dikendalikan oleh Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Kebajikan golongan istimewa terus dijamin


"Ahli SMUE OKU akan diberi baucar beli belah sebanyak RM100 yang boleh digunakan di pasar raya terpilih di kawasan mereka mengikut bulan kelahiran ahli SMUE OKU berkenaan.


"Sebagai makluman, mengikut data yang direkodkan oleh Yawas sehingga 15 Oktober 2020, jumlah warga OKU yang mendaftar di bawah SMUE adalah seramai 18,986 orang," tambahnya Adun Seri Serdang itu lagi.  

Selain bantuan-bantuan dari Kerajaan Negeri, Siti Mariah turut menjelaskan bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat turut menyediakan tiga jenis bantuan kepada golongan OKU.

Ia antaranya Elaun Pekerja Cacat, Bantuan Pesakit Terlantar dan Bantuan OKU Tidak Upaya Bekerja.

"Semua OKU yang memenuhi syarat perlu membuat permohonan kepada pihak JKM bagi mendapatkan bantuan-bantuan ini," jelas Siti Mariah.

Post a Comment

0 Comments