Belanjawan: Kata dua HARAPAN dianggap langkah bijak


SEORANG
penganalisis politik menyifatkan kata dua diberikan pemimpin pembangkang kepada kerajaan berhubung isu belanjawan 2021 sebagai satu langkah bijak.

Tunku Mohar Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa yang dipetik laporan FMT berkata, walaupun belanjawan perpaduan yang dicadangkan Pakatan Harapan (HARAPAN) nampaknya menunjukkan kerjasama antara kerajaan dan pembangkang, namun ia belum jelas sejauh mana kedua-dua pihak itu mampu bersatu menjayakan belanjawan itu.

Justeru, kata dua itu jelasnya boleh dilihat sebagai satu bentuk amaran kepada pentadbiran Muhyiddin.

“Ini memberitahu Perikatan Nasional bahawa HARAPAN tidak memberi kebenaran bertindak sesuka hati untuk sebarang belanjawan yang akan dibentangkan PN di Parlimen.” katanya dipetik sebahagian laporan itu.

Sebelum ini, Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng memberi amaran bahawa tiada ‘belanjawan perpaduan’ akan dipersetujui jika enam langkah fiskal dan kewangan utama yang dikemukakan HARAPAN baru-baru ini ditolak.

BACA:
HARAPAN beri kata dua kepada pentadbiran Muhyiddin

Enam langkah itu tegasnya penting demi menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian ekonomi rakyat Malaysia.

Belanjawan 2021 dijangka akan dibentangkan pentadbiran Muhyiddin pada Jumaat ini, sebelum ini ada desas-desus ia akan dijadikan platform bagi menjatuhkan pentadbiran Muhyiddin.

Perlu teruskan kerjasama dengan HARAPAN
Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah baru-baru ini menitahkan agar semua pihak menyokong Belanjawan itu bagi kepentingan rakyat.

Susulan titah Seri Paduka, pemimpin HARAPAN kemudian menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan pentadbiran Muhyiddin, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan bahawa perbincangan antara biparti wajar diadakan segera.

Sementara itu, Syed Arabi Idid dari UIAM ketika mengulas isu serupa pula berkata, walaupun perbincangan awal mengenai 'belanjawan perpaduan' itu menunjukkan “kesediaan PM untuk mendengar atau menjadi inklusif”, namun beliau tidak menjangkakan perkara akan berjalan lancar.

“Belang akan terdedah apabila cadangan belanjawan dibentangkan dan perbincangan menyusul di Parlimen,” katanya sambil menambah beliau menjangkakan beberapa bantahan atau halangan daripada pembangkang akan dibangkitkan.

“Ini akan mencetuskan perdebatan sengit dan penelitian sebelum Dewan Rakyat mengundi.”

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah yang dipetik laporan sama berkata, “keterangkuman” cadangan itu patut membantu belanjawan itu diluluskan.

PN tegasnya perlu berlapang dada dan terus bekerjasama dengan parti pembangkang untuk memaksimumkan peluang untuk belanjawan itu diluluskan.

BACA: KEADILAN akan semak setiap sen dalam belanjawan Muhyiddin

Sebelum ini, Setiausaha Agong kEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa gabungan itu akan  meneliti setiap sen yang akan dibelanjakan dalam belanjawan itu sebelum memutuskan sama ada akan menyokongnya.

Post a Comment

0 Comments