KEADILAN menyanjung dan menghayati titah nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah agar kebajikan rakyat dan kesejahteraan negara diutamakan dalam proses meluluskan Belanjawan 2021.
Setiausaha Agung parti itu, Saifuddin Nasution Ismail yang dipetik Malaysiakini berkata, titah baginda itu bakal dihayati dengan meneliti secara keseluruhan setiap perkara dalam belanjawan berkenaan kerana ia melibatkan wang rakyat.
“Titah nasihat yang datang dari istana merupakan nasihat yang datang daripada raja yang bijaksana. (Nasihat itu) Mesti dihayati.
“Dalam konteks ahli parlimen, cara menghayatinya ialah dengan scrutinize (meneliti) setiap patah perkataan, setiap angka... dari mana duit datang, dari mana hasil, ke mana dibelanjakan, dan kemudian membuat keputusan dalam institusi parlimen.
“Kerana setiap sen ini adalah duit rakyat,” kata Ahli Parlimen Kulim bandar Baharu itu.
Usul Belanjawan 2021 menarik perhatian apabila terdapat spekulasi bahawa ia mungkin dijadikan medan untuk ahli parlimen membuat undi tidak percaya ke atas Muhyiddin selepas Agong menolak pelaksanaan perintah darurat yang dicadangkannya.
Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam satu kenyataan media Istana Negara dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddinhari ini menyeru semua ahli parlimen menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentang pada 6 Nov ini.
Baginda menekankan pentingnya belanjawan berkenaan dalam menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Kata Saifuddin, titah nasihat yang dikeluarkan itu akan disentuh dalam mesyuarat Majlis Presiden PH yang dijadual berlangsung esok.
Tanggungjawab untuk semak |
“Naluri kemanusiaan pun, kita ada sifat: sebelum bersetuju atau tidak bersetuju, sokong atau tolak, kita hendaklah tahu dulu satu-satu perkara.
“Dari sudut tanggungjawab sebagai ahli parlimen pun, kita kena tahu isi kandungan sesuatu belanjawan. Sebab kita akan berbahas.
“Belanjawan ini melibatkan polisi dan angka. Dia melibatkan maklumat pendapatan dan perbelanjaan negara. Yang kita nak belanjakan ini wang rakyat,” katanya lagi.
0 Comments