Sikap Pas percepat kejatuhan Muhyiddin, kata Faiz Fadzil

SEORANG pemimpin  Parti Amanah Nasional (Amanah) mendakwa kedudukan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang kini umpama telur di hujung tanduk adalah disebabkan sikap Pas.

Dipetik laporan Awani, Faiz Fadzil yang mendakwa, biarpun Pas bersetuju menyertai Perikatan Nasional (PN), parti itu tetap memberi keutamaan kepada Muafakat Nasional (MN) yang diasaskan bersama UMNO dan tidak setia sepenuhnya kepada Muhyiddin.

"Kedudukan Muhyiddin yang semakin goyang ini sebenarnya bukan hanya kerana permainan politik UMNO, tetapi kerana Pas yang tidak setia sepenuhnya kepada Muhyiddin kerana masih bermain mata dengan UMNO.

"Walaupun Pas memilih untuk turut menyertai Perikatan Nasional (PN), tetapi MN masih menjadi keutamaan, maka tidak mustahil UMNO dan Pas sedang merencana strategi baharu untuk memintas Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

"Pas yang beberapa kali mengkhianati gabungan politik sebelum ini, sudah pasti mereka boleh melakukannya sekali lagi," katanya dalam kenyataan.

Tambah Faiz tindakan kerajaan PN mempertahankan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 selepas pulang dari Turki turut menyebabkan PN semakin hilang sokongan rakyat.

Ia secara langsung menyebabkan pentadbiran Muhyiddin dilihat mengamalkan 'double standard' sehingga rakyat tidak lagi berminat mempertahankan PN.

Faiz Fadzil
Menyentuh tindakan Muhyiddin cuba memohon perkenan Yang Di-Pertuan Agong bagi pengisytihatan darurat. faiz berkata, Pas telah pun menyokong permohonan itu walaupun sedar tidak wujud keperluan sedemikian di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Ia tegasnya kini akan menjadi punca yang menyebabkan Muhyiddin tidak dapat bertahan sebagai perdana menteri.

"Hayat Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kini ibarat telur di hujung tanduk. Mampukah Muhyidin bertahan dengan sikap munafik Pas dalam politik ini? Hanya masa yang menentukan," katanya dipetik.



Post a Comment

0 Comments