TIADA ‘belanjawan perpaduan’ jika enam langkah fiskal dan kewangan utama yang dikemukakan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang diusulkan kepada kerajaan baru-baru ini ditolak, kata Guan Eng.
Setiausaha Agung DAP itu memberi amaran itu sambil menegaskan bahawa adalah mustahak bagi semua pihak bersama-sama merangka Belanjawan Perpaduan yang berkesan untuk membantu rakyat negara ini mengatasi kemelesetan ekonomi akibat penularan wabak Covid-19.
BACA: Wanita KEADILAN tuntut 6 perkara dalam Belanjawan 2021
"Belanjawan Perpaduan 2021 tidak akan berlaku jika kerajaan Perikatan Nasional (PN) menolak enam langkah fiskal dan kewangan utama daripada HARAPAN demi menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian ekonomi rakyat Malaysia.
“Belanjawan Perpaduan ini sangat penting dalam menjunjung Titah Diraja yang menolak perisytiharan darurat untuk negara, mengelakkan permintaan seterusnya untuk darurat dan juga mengelakkan pilihan raya umum dalam tempoh terdekat, yang hanya akan menambah teruk jangkitan Covid,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, HARAPAN mengemukan enam idea kepada Kementerian Kewangan bagi memastikan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November ini diterima semua pihak.
![]() |
Belanjawan perpaduan tanda sokong titah Diraja |
1. Meningkatkan sumber Kementerian Kesihatan untuk Wabak Covid-19 dan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) dengan peruntukan khas untuk menangani krisis di Sabah
2. Memperluas perlindungan sosial, jaring keselamatan dan pembayaran kebajikan bagi golongan berisiko dan menganggur dengan meningkatkan bantuan bulanan kebajikan kepada RM1,000 sehingga krisis Covid-19 berakhir seperti yang dijanjikan oleh Perdana Menteri di Sandakan pada 30 Ogos yang akan menelan belanja RM12 bilion.
3. Pelanjutan moratorium pembayaran balik pinjaman bank sehingga 31 Mac 2021 yang akan menelan belanja RM6.4 bilion
4. Meneruskan subsidi upah sehingga 31 Mac 2021 dan mewujudkan 600,000 pekerjaan seperti dalam program MalaysiaKerja dengan menawarkan insentif selama 2 tahun untuk majikan dan pekerja yang akan menelan belanja RM13 bilion.
5. Peningkatan perbelanjaan pendidikan untuk memastikan kesinambungan pendidikan; dan
6. Perbelanjaan pembangunan untuk dua projek utama, iaitu, Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dan menaik taraf infrastruktur air untuk Selangor, Kelantan dan Pahang.
Sementara itu, Lim mengingatkan proses rundingan belanjawan yang sedang dijalankan bukan penyataan sokongan kepada atau menerima keabsahan politik dan moral pentadbiran Muhyiddin.
0 Comments