Ibrahim Ali kritik cadangan naik gaji ADUN Kelantan


PRESIDEN
parti Putra, Ibrahim Ali mengkritik rancangan Kerajaan Kelantan untuk menaikkan gaji wakil rakyat di negeri itu.

Dipetik laporan Malaysiakini, Ibrahim mempersoalkan rancangan itu dalam keadaan belanjawan negeri defisit sebanyak RM66 juta dan banyak isu rakyat di Kelantan masih tidak diselesaikan.

"rakyat wajar bangkit dan menentang" rancangan kerajaan Kelantan menaikkan gaji wakil rakyatnya.

"Ini bermakna gaji menteri besar, timbalan menteri besar dan exco pun naik sama," katanya dalam satu kenyataan.

Ibrahim sebelumnya mengulas kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah yang dilaporkan berkata Adun dan barisan exco kerajaan negeri Kelantan bakal menikmati kenaikan gaji pokok antara RM3,000 hingga RM5,000 seorang.

Ibrahim Ali persoal rancangan kerajaan negeri
Kenaikan itu menurut Mohd Amar perlu bagi mengurangkan jurang perbezaan gaji antara wakil rakyat Kelantan dan negeri-negeri lain.

Sementara itu, Ibrahim menegaskan bahawa negeri lain mampu berbuat memberi gaji lebih besar kepada wakil rakyat mereka kerana pendapatannya lebih baik berbanding Kelantan.

Beliau turut mempersoalkan dimana semangat membela rakyat yang dijaja kerajaan negeri kepada rakyat Kelantan.

"Ke mana semangat pengorbanan pemimpin yang jaja Islam? 30 tahun rakyat Kelantan kais pagi makan petang. Cukai tanah, cukai pintu dan berbagai cukai urusan tanah naik beratus peratus.

"Bekalan air sentiasa putus dan kotor manakala pekerjaan untuk rakyat habuk tak ada. Rakyat terus berhijrah keluar Kelantan.

"Sebelum ini menteri besar, timbalan menteri besar dan exco dapat Mercedes dan sekarang nak naik gaji pula," kata Ibrahim lagi.

Januari lalu, Kerajaan negeri mengakui membeli 14 kereta mewah Mercedes Benz untuk kenderaan rasmi pimpinan kerajaan negeri termasuk Menteri Besar dan EXCO.

Mohd Amar,  berkata pembelian kenderaan itu dilakukan sejak 2018 hingga tahun lalu dengan yang terakhir untuk beliau sendiri dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
 
Jelasnya lagi kebanyakan kereta sebelum ini sudah digunakan lebih 10 tahun dengan ada EXCO yang berhenti selepas Pilihan Raya Umum (PRU) membeli kenderaan rasmi yang mereka gunakan.

Sebelum ini timbul kontroversi apabila kerajaan Kelantan membeli kereta Mercedes Benz model terbaharu yang didakwa bernilai hampir RM700,000 seunit.

Bagaimanapun difahamkan, kesemua kenderaan itu dibeli dibawah harga pasaran dengan jumlah keseluruhan perbelanjaan ialah sebanyak RM3.5 juta.

Post a Comment

0 Comments