PENGERUSI Parti Keadilan rakyat (KEADILAN) Terengganu, Azan Ismail menyifatkan belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat lalu seperti 'menanak batu'.
Jelas Azan, kerajaan Perikatan Nasional (PN) membuat unjuran pertumbuhan ekonomi yang besar pada tahun hadapan ketika Pendemik Covid-19 masih tidak berkesudahan, semata-mata untuk memberi 'harapan palsu' kepada rakyat.
"Kerajaan seolah-olah memasak batu tapi beritahu rakyat kerajaan masak makanan.
"Jadi, belanjawan yang dipersembahkan ini seolah-olah belanjawan "menanak batu" yang mana batu itu tak akan masak sampai bila-bila pun dan tidak mendatangkan apa-apa kepada rakyat. Cuma nak bagi harapan kepada rakyat supaya sedap hati," katanya dipetik laporan Malaysiakini.
Menurut Azan matlamat menjadi negara berpendapatan tinggi pada 2020 tidak dapat dicapai disebabkan had hutang negara kini telah melepasi 55 peratus daripada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
"Apabila KDNK kita menurun maksudnya jumlah 55 peratus itu dah tercapai dan kita sudah melebihi daripada had maksima hutang negara berbanding dengan apa yang dibenarkan oleh undang-undang.
"Ditambah lagi apabila terdapat analisa yang mengatakan hutang kita menghampiri RM1.3 trillon. Jadi jumlah RM1.3 trillion ini sudah tentu melebihi siling 55 peratus hutang negara dan itu dah terang-terang mempunyai situasi yang tak pernah kita lalui sebelum ini
"Sebab itu bukan sahaja nak mencapai negara berpendapatan tinggi hancur tetapi kita telah mencapai negara berliabiliti tinggi dan ini yang menjadi stigma terbesar," katanya.
Bekas Ahli Parlimen Indera Mahkota itu menambah, selain hutang negara, hutang isi rumah juga dijangka akan terus meningkat.
Ini ditambah lagi dengan laporan 32 peratus pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai simpanan RM5,000 dan ke bawah dalam Akaun 1 yang dinyatakan sebelum ini.
Azan dakwa kerajaan tak berterus terang |
"Jadi dalam kes ini, kerajaan seolah-olah tidak berterus terang dan masih lagi membuat unjuran pertumbuhan dalam negara akan menjadi besar tahun hadapan sekali gus seolah-olah memberi harapan palsu," katanya.
Untuk rekod, Tengku Zafrul ketika membentangkan Belanjawan 2021 mengunjurkan KDNK dijangka berkembang 6.5 hingga 7.5 peratus.
Ini katanya selari jangkaan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) serta Bank Dunia iaitu pada kadar enam hingga lapan peratus.
Bagaimanapun, penganalisis menegaskan unjuran antara 6.5 ke 7.5 peratus adalah tidak realistik dalam keadaan negara masih menghadapi wabak Covid-19.
0 Comments