PN utamakan 'survival' politik dari bantu rakyat - Wanita KEADILAN


NAIB Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mendakwa Perikatan Nasional (PN) mahu terus kekal berkuasa dengan menghidupkan kembali unit propaganda Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

Faizah Ariffin membuat dakwaan itu susulan rancangan kerajaan menyalurkan peruntukan bernilai RM85.5 juta kepada Jasa di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

Beliau turut mengkritik penyaluran peruntukan RM8.6 juta kepada Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) yang diketahui digerakan individu dari parti politik tertentu.

"Ini gila! Kita semua sama-sama sedang menyaksikan betapa kerajaan PN sedang bertarung nyawa untuk terus kekal berkuasa dengan majoriti tipis yang dilihat bakal rebah pada bila-bila masa," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Faizah, melalui peruntukan sebesar itu, jelas membuktikan kerajaan hari ini tidak ada kepedulian atas masalah kelangsungan hidup rakyat. Mereka jelasnya hanya mengutamakan 'survival' politik PN.

"Bayangkan dengan peruntukan sebanyak itu, boleh membantu menambah baik dan membeli alatan keperluan hospital selain membantu rakyat yang merangkak untuk bangkit semula.

PN hanya utamakan survival politik, kata Faizah


"Jelas dan terang ini adalah bermotifkan politik dengan menggunakan wang yang sepatutnya digunakan untuk membantu rakyat bangkit semula dek pandemik koronavirus (Covid-19),"  tambahnya.


Faizah turut membangkitkan kegagalan kerajaan dalam melindungi nasib pekerja yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Pakatan Harapan (HARAPAN )sebelum ini lantang menyanggah cadangan pengeluaran akaun dua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)  kerana mereka dilindungi caruman Sistem Insurans Pekerja (SIP), namun pentadbiran Muhyiddin tegasnya gagal melaksanakan caruman itu dengan baik.

"Kini kerajaan tidak mengendahkan desakan rakyat supaya memberikan kebenaran pengeluaran RM10,000 secara 'one-off' daripada akaun satu KWSP.

"Jika kerajaan hari ini susah untuk bantu rakyat, janganlah rakyat juga diberi susah untuk terus berjuang pulihkan ekonomi," tegasnya lagi melalui kenyataan itu.

Post a Comment

0 Comments