UMNO Perak menuduh Menteri Besar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Ahmad Faizal Azumu membelakangi semangat muafakat yang dibina bersama.
Pengerusinya Datuk Saarani Mohamad dalam satu kenyataan berkata, Umno telah mengelakkan diri dari mengeluarkan kenyataan politik bagi membolehkan kerajaan negeri fokus sepenuhnya dalam mendepani impak Covid-19 namun ia tidak dihargai dengan baik.
Faizal katanya merendah-rendahkan Umno dengan tindakan yang membelakangi semangat setiakawan dan prinsip hormat menghormati dalam urusan pelantikan setiap wakil sama ada sebagai ahli majlis mesyuarat (Exco), ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan dan lantikan politik yang lain seperti yang dipersetujui ketika Bersatu, Umno dan PAS membentuk kerajaan.
"Sewajarnya pelantikan mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau pemimpin UMNO dalam kerajaan hendaklah dibincangkan dengan badan perhubungan negeri atas semangat setiakawan dan prinsip hormat menghormati.
![]() |
MB didakwa cuba perlekeh Umno |
"Hakikatnya, ia sudah berkali-kali dilanggari kerana sebelum ini pun, ada cubaan untuk mengubah senarai nama Exco yang sudah dipersetujui serta cubaan menukar pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN)," kata Exco Kanan Perak itu.
Difahamkan, rasa tidak puas hati itu susulan pelantikan ADUN Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim sebagai Setiausaha Politik beliau.
"Meskipun saya cuba mengelak untuk membuat kenyataan terbuka apabila beliau melantik seorang ADUN daripada UMNO, tetapi beliau sendiri telah secara terbuka menyatakan bahawa beliau tidak perlu mendapat kebenaran daripada parti UMNO," katanya lagi.
Saarani turut melihat, sikap berdiam diri Umno dianggap sebagai kelemahan sehingga satu persatu persetujuan yang dimeterai bersama sebelum ini cuba dikhianati sedangkan Umno tegasnya mempunyai 25 ADUN iaitu jumlah paling besar di dalam DUN.
"Atas ketaatan dan semangat tolak ansur, kami tidak menarik sokongan apabila jawatan Menteri Besar diberikan kepada Bersatu.
"Jadi hentikanlah bermain politik dan bersandiwara serta tumpukan kepada kebajikan rakyat yang menderita sekarang," tegasnya.
0 Comments