Hafizh Syahrin bincang dengan 2 pasukan


PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah dilapor telah mengadakan perbincangan awal bersama dua pasukan bagi terus kekal dalam saingan Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) untuk musim hadapan.

Bagaimanapun, Hafizh yang kini berlumba bagi pasukan Aspar Team Moto2 menjelaskan perbincangan dengan dua pasukan tersebut masih di peringkat awal.

Memetik laporan Bernama, Anak kelahiran Selangor itu turut tidak mendedahkan nama dua pasukan berkenaan.

“Buat masa sekarang, saya tak ada letak apa-apa harapan kerana saya masih fokus beri yang terbaik kepada pasukan saya sekarang. Apapun, kalau ada rezeki, saya akan sambung dan jika sebaliknya, saya percaya ada rezeki di tempat lain,” katanya hari ini.

Baru-baru ini, pasukan Aspar Team Moto2 mengesahkan khidmat pelumba Sepanyol, Albert Arenas dari pasukan Aspar Team Moto3 untuk mewakili pasukan berkenaan dalam saingan Moto2 musim hadapan, perkembangan itu menyebabkan peminat sukan perlumbaan motor tempatan tertanya-tanya mengenai masa depan bekas pelumba Red Bull KTM Tech3 itu.

Mahu fokus baki perlumbaan


Sementara itu, prinsipal pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali mengesahkan, beliau ada memberi maklumat mengenai Hafizh Syahrin kepada beberapa pasukan lain.


“Saya tidak terlibat langsung dengan perbincangan antara pihak Hafizh Syahrin bersama beberapa pasukan berkenaan memandangkan beliau sendiri sudah mempunyai pengurus.

"Saya tidak pasti dengan pasukan mana beliau berhubung, tapi saya ada kenalkan dia dengan beberapa pasukan lain,” katanya.

Hafizh Syahrin kini mengutip 18 mata untuk menduduki tangga ke-21 carta pelumba Moto2. Pencapaian terbaik pelumba berusia 26 tahun  itu pada musim ini adalah meraih kedudukan keenam di GP Sepanyol pada Julai lepas.

Post a Comment

0 Comments