Surat sokong Anwar: AMK gesa Zahid berani nyata pendirian


NAIB
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Shah Osman mengesa Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menyatakan pendirian berhubung surat tular yang mendakwa parti itu menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dipetik laporan Malaysiakini, Syed Badli menegaskan walaupun Zahid mengambil sikap berdiam diri, lambat laun jelasnya rakyat akan tahu perkara sebenar sama ada Zahid masih menyokong kepimpinan perdana menteri, Muhyiddin Yassin atau sebaliknya.

“Pada saya, Zahid kena berani menyatakan pendirian. Jika palsu, ambil tindakan. Jika benar nyatakan.

“Kerana akhirnya rakyat akan tahu juga akan kebenaran perkara ini sama ada Umno berpihak kepada Muhyiddin atau berpaling,” katanya dipetik laporan itu.
 
Sebuah portal baru-baru ini melaporkan Zahid bersama bekas presiden Umno Najib Razak menyerahkan surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menunjukkan sokongan Umno kepada Anwar.

Walaupun Umno menafikan kesahihan surat berkenaan, namun setakat ini, Zahid dan Najib sendiri belum mengeluarkan sebarang kenyataan peribadi bagi menafikan kesahihan surat yang mengaitkan nama mereka itu.

Kedudukan Muhyiddin sebagai perdana menteri kini dilihat semakin rapuh. Pada 23 Sept lalu  Anwar mendakwa memperoleh majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baru.

Tular surat sokongan didakwa dari Zahid
Ia disusuli kenyataan Zahid bahawa beliau mengetahui ramai Ahli Parlimen Umno mengalih sokongan kepada Anwar.

Sejak lebih seminggu lalu, hubungan antara Umno dan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin dilihat berantakan, Umno memberi gambaran untuk menarik semula sokongan kepada gabungan itu.

Mereka menuntut syarat baru kepada gabungan itu. Kelmarin Muhyiddin meminta Umno memperincikan syarat baru berkenaan dalam apa yang dilihat sebagai usaha untuk menyelamatkan gabungan itu.
 

Post a Comment

0 Comments