KEDUDUKAN Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri semakin dipertikaikan,
Ditengah dakwaan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau kini mempunyai sokongan majoriti dari Ahli Parlimen untuk mengambil -alih pentadbiran negara, beberapa parti mengemukakan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin.
Sebelum ini, lima Ahli Parlimen Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dilapor sudah mengemukakan usul undi tidak percaya untuk dibentangkan pada Sidang Dewan Rakyat akan datang. Dan terbaharu, kesemua 11 ahli Parlimen Parti Amanah Negara (Amanah) pula mengemuka usul sama terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu.
Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor) mengesahkan tindakan Amanah itu menerusi ciapan di Twitter beliau minggu lalu.
Dr Dzulkefly mengesahkan perkara itu ketika membalas ciapan dengan salah seorang pengguna Twitter yang mendakwa sebagai pengundi Parlimen Kuala Selangor dan menyarankan Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berbuat demikian.
"Ya, bagi perteguh kepentingan usul, semua ahli Parlimen Amanah (11) hantar usul undi tidak percaya kepada YDP Speaker sebelum 5 petang tadi.
"Semoga Speaker Dewan Rakyat beri laluan untuk usul ini dibentangkan dalam sesi sidang akan datang," tulis Dr Dzulkefly.
Terdahulu, sepucuk surat daripada Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri tular.
Ahli Parlimen Kota Raja itu berbuat demikian bagi mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Muhyiddin tidak mempunyai keyakinan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.
![]() |
16 Ahli Parlimen kemuka usul |
Situasi politik Malaysia kembali hangat kebelakangan ini, selain dakwaan Anwar bahawa Muhyiddin telah hilang sokongan Ahli Parlimen, populariti Presiden Bersatu itu juga semakin merudum susulan peningkatan mendadak kes baru berkaitan Covid-19 susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang diadakan.
0 Comments