Suami isteri maut kemalangan terkilan tak sempat jenguk cucu


SEPASANG suami isteri maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Kampung Klah Baru, Sungkai semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Perak berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Mohamed Tahir Junus, 64, dan Nor Aini Mohd Sam, 56, kedua-duanya beralamat di Rumah Awam 2, Jalan Ketoyong, Tanjung Malim.

Dalam satu kenyataan, pihak bomba memaklumkan telah menerima panggilan mengenai kemalangan melibatkan sebuah Perodua Myvi dengan Proton Saga BLM itu pada pukul 11.04 pagi.

Jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bidor serta Slim River dikejarkan ke lokasi.

“Apabila sampai di lokasi, anggota mendapati terdapat dua orang dalam Proton Saga BLM tersepit dan meninggal dunia, manakala pemandu Myvi yang parah dikejarkan ke Hospital,” katanya kenyataan itu.
Tiga mangsa kemalangan dilapor maut
Difahamkan, Nahas itu turut mengorbankan pemandu Perodua Myvi, Muhammad Ridhwan Ismail, 24, yang meninggal dunia ketika dalam perjalanan menuju ke Hospital Slim River.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata,, kemalangan dipercayai berlaku semasa Muhammad Ridhwan dalam perjalanan dari Subang Jaya, Selangor menghala ke Teluk Intan.

“Apabila tiba di lokasi kemalangan, mangsa disyaki hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung secara depan-depan dengan Proton Saga BLM, yang dinaiki suami isteri berkenaan,” katanya.

Seorang anak kepada pasangan itu, Azrul Azizul Mukminin, 30 yang dipetik laporan Sinar berkata, dia bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima gambar nahas melibatkan Proton Saga berwarna kelabu yang dipandu bapanya.

"Sebelum kejadian, kami sama-sama sarapan nasi lemak di Air Kuning, Tapah sebelum mereka mahu pulang ke kampung. Memang kami tidak nampak apa-apa perubahan dan saling bersalam-salaman.

"Tiba sahaja di tempat kejadian, jenazah sudah dibawa keluar dan saya sempat menatap wajah mereka untuk pengecaman," katanya.

Difahamkan, sebelum kejadian kedua-dua mangsa bermalam di rumah Azrul.

Menurutnya, ketika bermalam di rumahnya, dia perasan kelainan ibu bapanya yang seolah-olah merindui cucu-cucunya.

"Rutin mingguan mereka bergilir-gilir akan pergi rumah kami lima beradik. Tetapi dia terkilan tidak dapat jenguk cucu-cucunya di Kuala Lumpur kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," jelasnya.

Katanya, kedua-dua Allahyarham disifatkan sebagai penyayang dan sering menghabiskan masa bersama.
 

Post a Comment

0 Comments