Sokongan majoriti diperolehi Anwar tak berubah


PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN), DatuK Seri Anwar Ibrahim dilapor sedang menunggu tarikh baru untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ia berhubung usahanya untuk menubuhkan kerajaan baru setelah sebelum ini mendakwa berjaya mendapat sokongan kukuh dari Ahli Parlimen.
 
"Kalau nak jujur, perkara ini sangat sulit. Melibatkan institusi diraja. Kebanyakan pemimpin parti tidak mengetahui perkembangan terkini.

"Tapi, saya boleh pastikan satu perkara. Iaitu Datuk Seri (Anwar) sedang menanti tarikh baru untuk mengadap Seri Paduka Baginda," kata seorang sumber dari parti KEADILAN seperti dilapor Malaysiakini.

Pada 23 September lalu, Anwar mengumumkan bahawa kerajaan dipimpin Muhyiddin Yassin telah runtuh susulan tidak lagi mempunyai sokongan majoriti.

Pada pengumuman itu Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur, beliau berkata majoriti yang diperolehi adalah konklusif dan bukannya majoriti tipis.

Anwar juga memberi jaminan bahawa dia ada "dokumen tetap yang tidak boleh diragui" bagi membuktikan bahawa dia kini mempunyai majoriti untuk menubuhkan kerajaan baru.

Diasak wartawan untuk maklumat lanjut, Anwar berkata, butiran akan hanya diberikan selepas dia mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, sumber serupa menegaskan Anggota Parlimen Port Dickson itu kini masih mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat walaupun pengumuman itu telah dibuat dua minggu lalu.

Anwar tunggu tarikh baru mengadap Agong
"Dia masih mempunyai sokongan termasuk wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak. Sebab itu saya kata, Anwar sedang menanti majlis menghadap Seri Paduka.

"Ada yang kata 121 (anggota Parlimen yang sokong), ada yang kata 125. Itu bagi kami tidak penting. Apa yang penting majoriti yang kukuh dan menyakinkan," katanya lagi.
 
Sebagai rekod, Anwar telah diperkenan untuk mengadap Al-Sultan Abdullah pada 22 September, tetapi ia terpaksa ditangguhkan susulan kegeringan baginda.

Perkara itu turut disahkan Istana Negara dalam satu kenyataan pada hari sama Anwar membuat sidang medianya.



Post a Comment

0 Comments