Malaysia catat kes harian melebihi 400 orang

MALAYSIA mencatat angka jangkitan baharu Covid-19 tertinggi untuk tempoh empat hari berturut-turut.

Hari ini sebanyak 432 kes baharu dengan jumlah pesakit aktif kini lebih 2,000 orang.

Jumlah kes baharu melebihi angka 400 hari ini sekali gus menjadikannya angka paling tinggi pernah dicatat sejak wabak itu melanda Malaysia.


Kerajaan dikritik kuat oleh rakyat baru-baru ini susulan peningkatan kes baharu Covid-19 yang dikaitkan dengan kelonggaran penguatkuasaan perintah kuarantin bagi individu yang pulang dari Sabah.

Muhyiddin Yassin melalui kenyataan dua hari lalu menggesa rakyat kekal tenang kerana pada pandangannya keadaan masih terkawal.

Untuk rekod, Malaysia sebelum ini dipuji setelah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham dan barisan petugas hadapan berjaya mendatarkan angka jangkitan wabak tersebut.

Sementara itu, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu 429 melibatkan penularan dalam negara dan 3 kes import.

“Daripada 429 kes penularan tempatan, sebanyak 224 kes adalah kes yang dikesan daripada kluster Tembok iaitu di penjara di Kedah.

“Sebanyak 29 kes pula merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, sekali gus menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September lalu berjumlah 235 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes semakin meningkat
Noor Hisham berkata, Kedah mencatat jumlah jangkitan harian tertinggi membabitkan 241 kes hari ini diikuti Sabah dengan 130 kes dan Selangor 34.

“Di Kedah terdapat 224 kes daripada kluster Tembok, 11 kes kluster baharu iaitu Bah Sintok, 3 kes kluster baharu iaitu kluster Jeram, 1 kes daripada kluster Bah Ketil, kluster Sungai dan kes saringan bergejala.

“Di Sabah, 57 kes saringan bergejala, 39 kes daripada kluster Bangau-Bangau, 16 kes saringan kontak rapat, 6 kes saringan petugas kesihatan, 3 kes kluster Benteng LD, 3 kes saringan tempat kerja, 2 kes Severe Acute Respiratory Illness (SARI), 2 kes saringan komuniti, 1kes Influenza-Like Illness (ILI).

“Di Selangor, 7 kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi Sabah, 9 kes kluster Jalan Meru, 3 kes kluster Seri Anggerik dan masing-masing 1 kes kluster Benteng PK, kes Severe Acute Respiratory Illness (SARI), kes bergejala, kes saringan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 iaitu kes ke-11,143 melibatkan warganegara dan 1 kes saringan sign off kapal yang melibatkan bukan warganegara,” katanya.

Sementara itu, di Terengganu terdapat 5 kes, Kuala Lumpur (5), Labuan (4), Johor (2), Perak (2), Putrajaya (2), Negeri Sembilan (1), Pahang (1) Kelantan (1) dan Melaka (1).

Dengan kes terbaharu itu, Malaysia kini merekodkan 12,813 kes Covid-19 dengan 10,340 daripadanya disahkan sembuh.

Jumlah pesakit yang kini dirawat di hospital mencecah 2,336 orang di seluruh negara.

32 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 8 memerlukan alat bantuan pernafasan.


Post a Comment

0 Comments